top of page
  • cik skod

“Saya akan cadang pada Menteri-Menteri BERSATU sokong penubuhan RCI dalam Kabinet”


KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Seri Wan Saiful Wan Jan akan mencadangkan kepada menteri-menteri BERSATU agar mencadangkan dan menyokong penubuhan

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu perolehan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) dalam Kabinet.

Beliau berkata ini kerana LCS isu yang besar membabitkan satu projek mega yang telah dibayar tetapi kapalnya tidak kelihatan.


“Jangan biarkan isu ini disapu ke bawah karpet.

“RCI ialah jalan terbaik kerana ia boleh menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan berwibawa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.


Tambahnya, nama-nama yang disebut dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ada yang amat berpengaruh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Sehingga kita melihat betapa Ismail secara terbuka menggunakan lenggok bahasa yang hampir sama dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyuruh Menteri Kewangan ambil mana mana yang sempat.

“Kelunakan terhadap sikap ‘ambil mana yang sempat’ ini menimbulkan persoalan mengenai integriti,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata disebabkan itu siasatan oleh RCI yang berada di luar badan Eksekutif akan lebih diyakini ketelusan dan kewibawaannya.


Beliau berkata menjunjung kasih atas kesudian pihak Istana Negara menerima memorandum BERSATU, semalam.

“Penghargaan saya kepada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Dr Yadzil Yaakub, Ketua BERSATU Bahagian Segambut, Mahathir Mohd Rais, orang lama BERSATU Saudara Hasnizam Adham, dan semua rakan-rakan BERSATU yang turut hadir bersama.

“Kandungan utama memorandum ialah merayu limpah perkenan Tuanku YDP Agong agar sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja ditubuhkan untuk menyiasat skandal LCS,” katanya.


Wan Saiful juga berkata beliau gembira kerana hari ini beberapa parti lain telah turut menyokong cadangan penubuhan RCI.

“Setelah saya mula mencadangkannya beberapa hari lepas.

“Saya harap semua semua parti politik dan NGO meneruskan usaha agar RCI tertubuh. Ini adalah isu yang merentas kepentingan parti,” katanya.

bottom of page