top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

“Saya Bersedia” - Hishamuddin Abdul Karim

20 OKTOBER 2021

MELAKA: Ketua Bahagian BERSATU Kota Melaka Datuk Hishamuddin Abdul Karim yakin dapat mempertahankan kerusi BERSATU di DUN Telok Mas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sekiranya dicalonkan kelak.


Ini susulan penyandang kerusi itu, Datuk Noor Effandi Ahmad, digugurkan keahlian BERSATU ekoran bersama tiga ADUN lain mengisytiharkan sokongan kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dalam krisis politik kepimpinan Melaka.


Hishamuddin, yang terkenal sebagai orang lama di kawasan itu, yakin pengundi akan memilihnya mewakili Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri itu nanti.

“Saya bersedia dan yakin memperolehi kemenangan di N23 Telok Mas.


“Selaku orang lama dan berpengalaman di Kota Melaka serta keluarga besar di Kampung Alai saya yakin pengundi akan memilih saya dan Perikatan Nasional.


“Selaku Ketua Bahagian Kota Melaka yang telah bekerja membawa jenama Abah PN sepanjang PKP masyarakat telah mengenali saya dengan dekat,” katanya.


Pada Isnin, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh mengumumkan tarikh pelaksanaan PRN Melaka pada 20 Nov depan manakala penamaan calon (8 Nov) dan undi awal (16 Nov).


DUN Melaka dibubarkan pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.


Dalam pada itu, Hishamuddin menggesa pengundi menilai sikap ahli politik sama ada mahu memilih wakil rakyat yang tamak merebut kuasa atau yang sentiasa memberi khidmat.


“Rakyat dapat nilai mereka yang tamak kuasa dan mereka yang sentiasa memberikan khidmat kepada rakyat, terutamanya menerusi bantuan dan inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika negara dilanda wabak COVID-19.


“Saya harap dapat memberikan khidmat sepenuhnya kepada rakyat di negeri Melaka, khususnya di DUN Telok Mas. Saya bersedia,” katanya.

bottom of page