top of page
  • newsatmy

Saya pun pernah 'terkucil' - Jamal Abdillah

19 Mac 2021 KUALA LUMPUR: Datuk Jamal Abdillah, 61, menganggap semua penyanyi tidak terlepas daripada melakukan kesilapan ketika beraksi, apatah lagi tatkala membuat persembahan di pentas gah seperti Anugerah Juara Lagu (AJL).


Mengulas insiden penyanyi, Nabila Razali berdepan kesukaran mendendangkan lagu Peluang Kedua di pentas AJL35, Ahad lalu, Jamal berkata, perkara itu dianggap normal.


"Ini adalah perkara biasa. Ada kala perancangan sudah teliti, tetapi mungkin faktor kesihatan tidak boleh diagak.


"Malah, cara persediaan seperti bersenam juga boleh menjadi faktor (prestasi ketika persembahan).


"Bagi saya, Nabila perlu terus berusaha dan jangan patah semangat. Semua orang pernah melakukan kesilapan.


"Bukan sahaja 'terkucil', ada juga yang pernah terjatuh, malah terpelanting atas pentas.


Jamal menasihatkan Nabila terus berusaha dan usah patah semangat selepas insiden di pentas AJL35, Ahad lalu.


"Saya juga pernah 'terkucil', malah suara saya pernah tidak keluar disebabkan terlalu kerap memenuhi undangan nyanyian," katanya kepada BH Online.


Jamal mengulas kes Nabila yang teruk dikecam netizen gara-gara 'terkucil' ketika mendendangkan lagu Peluang Kedua pada AJL35.


Nabila yang sebelum ini menarik diri pada Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-35 akibat masalah peti suara, dikritik gagal memberi justifikasi terhadap lagu ciptaan Hael Husaini itu.

Jamal tidak menafikan, pentas AJL memberikan debaran berbeza kepada penyanyi.


"Saya suka AJL tetapi saya tidak suka debaran. Walaupun lama menyanyi, saya tetap berdebar-debar setiap kali tampil di pentas itu.


"Kita tidak mahu orang kata penyanyi lama tewas dalam memberi persembahan terbaik.

"Namun, kita kena berseronok di pentas. Kita manusia biasa. Kadang-kadang pada tahap bagus, namun, ada masa, kesihatan tidak mengizinkan," katanya.

Jamal menasihatkan penyanyi berdepan masalah suara ketika beraksi, usah patah semangat.


"Niat kita hendak menghiburkan orang, itu sahaja. Kalau tidak, kita tidak boleh duduk dalam arena muzik sampai bila-bila," katanya yang mempertaruhkan lagu duet ciptaan Ezra Kong dan Hael Husaini, Belenggu Rindu yang dipersembahkan bersama Wany Hasrita pada AJL35.

Lagu itu diumumkan pemenang ketiga pada acara anugerah berprestij itu.


AJL35 mengangkat lagu ciptaan Ezra, Gila dendangan Kaka Azraff, Loca B dan Noki sebagai juara.


Tempat kedua dimenangi Aina Abdul yang mempertaruhkan lagu ciptaan sendiri, Semalam.

Sementara itu, mengulas projek single Neraca bersama penyanyi rap, Kmy Kmo dan Luca Sickta yang dilancarkan pada 9 Mac lalu, Jamal mengaku beroleh pengalaman baharu.


"Proses rakaman sangat santai dan tidak terlalu sukar. Bekerja dengan anak muda memang seronok, mereka sangat berbakat," katanya. -BH Online

bottom of page