top of page
  • newsatmy

`Saya tidak ada DNA dendam' – Azlan Man

27 April 2021

KANGAR: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Azlan Man menegaskan beliau tidak mempunyai 'DNA dendam' terhadap 'musuh' politik termasuk dalam parti UMNO itu sendiri, ketika memacu UMNO Perlis agar kembali teguh dan terus diyakini rakyat.


Malah, beliau yang juga Menteri Besar Perlis tetap dengan pendekatan melayan 'musuh' politik seperti tiada apa yang berlaku, terutama dalam kemelut pelantikan beliau bagi menggantikan penyandang jawatan berkenaan sebelum ini, Datuk Seri Shahidan Kassim.


"Saya boleh katakan di sini bahawa saya tidak ada 'DNA berdendam', sebab itu orang diketahui bermusuh dengan saya, malah 'menikam' saya dan sebagainya tetapi saya tetap melayan mereka seperti tiada apa yang berlaku.


"Alhamdulillah, pendekatan itu semua akhirnya membuahkan hasil apabila mereka semua menjadi sahabat saya, menyokong saya dan ada menjadi penyokong tegar pada masa kini.


"Dalam politik ini terdapat pendekatan, jangan wujudkan lawan tetapi wujudkan kawan dan itu saya rasa pendekatan yang betul dan akan terus saya gunakan demi kebaikan kita bersama dalam UMNO secara amnya," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum Majlis Berbuka Puasa bersama UMNO Bahagian Kangar di Residensi Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini, malam tadi.


Ditanya sama ada beliau sedia bekerjasama dengan Shahidan semula untuk memantapkan jentera UMNO Perlis di ketiga-tiga bahagian Kangar, Arau dan Padang Besar, Azlan berkata, beliau tidak ada masalah untuk bekerjasama dan sentiasa mengamalkan sikap terbuka.


"Saya mengambil sikap terbuka, saya tak pernah pun sekali menunjukkan sikap bermusuh dengan kawan mahupun lawan mahupun orang yang tidak sehaluan.


"Kita tidak ada masalah untuk bekerjasama sebab selama ini pun saya tidak pernah mengkritik sesiapa pun atau membalas kritikan pedas daripada orang lain.


"Namun begitu, saya melihat kritikan pedas dalam konteks yang positif, apakah benar kritikan itu. Saya menganalisis semula kritikan itu dan jika betul, saya akan melakukan pembetulan sendiri. Jadi, saya amat positif.


"Tak perlulah saya nak beri nasihat kerana dia (Shahidan) lebih berpengalaman daripada saya dan saya menghormatinya sebagai pemimpin yang sudah lama mengetuai kerajaan negeri dan UMNO Perlis. Jadi, Datuk Seri Shahidan dan pemimpin lain sudah tentu lebih arif dan mempunyai kebijaksanaannya sendiri," katanya.


Pada masa sama juga, Azlan berkata, beliau akan bertemu dengan seluruh akar umbi UMNO di Bahagian Arau dan Padang Besar untuk memberi penjelasan bagi merapatkan semula saf UMNO Perlis yang dilihat berpecah kepada beberapa kem.


"Ya memang itu pun hasrat saya dan ini mengambil masa sedikit. Biasalah apabila berlaku sesuatu perkembangan pasti ada reaksinya. Ini sesuatu yang lumrah, namun begitu saya lihat respon daripada media sosial, saya rasa secara umum responnya agak positif," katanya.


Terdahulu, Azlan meluangkan masa berbuka puasa bersama hampir 500 orang ahli dan jawatankuasa UMNO peringkat cawangan dan bahagian Kangar.


Turut hadir adalah Naib Ketua Bahagian UMNO Kangar, Hamizan Hassan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kayang dan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana Awam, Pengangkutan, Belia dan Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Perlis.


-Berita Harian

bottom of page