top of page
  • admin

Selangor larang program Islam di rumah agama lain


SHAH ALAM 15 Mac:Kerajaan Selangor melarang sama sekali penganjuran sebarang program melibatkan umat Islam di rumah ibadah agama lain di negeri ini.


Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, pihaknya mendapati wujud organisasi bukan kerajaan (NGO) aktif menganjurkan program berbentuk kefahaman dan nilai toleransi antara agama sejak kebelakangan ini


"Usaha tersebut (program toleransi antara agama) disambut baik oleh kerajaan negeri, namun program-program yang dianjurkan haruslah mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Agama Islam (Jais) terutamanya melibatkan faktor perundangan.


“Kesalahan itu mengikut Seksyen 5 dan Seksyen 6 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988,” katanya dalam kenyataan hari ini.


"Peraturan telah menetapkan bahawa sebarang program melibatkan umat Islam di rumah ibadat agama lain selain rumah ibadat Islam adalah dilarang sama sekali,” katanya lagi.


Kenyataan itu dibuat selepas pemimpin pembangkang mengaitkan program dinamakan "Projek Artikel 11" anjuran Impact Malaysia sebagai program ‘Kristian Evangelis’.


Projek Artikel 11 ialah program yang melibatkan golongan belia yang dibawa mengunjungi rumah ibadat pelbagai agama sebagai sebahagian daripada usaha Impact Malaysia meningkatkan kesedaran masyarakat majmuk di negara ini.


Impact Malaysia merupakan agensi yang diletakkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Bagaimanapun, menterinya Hannah Yeoh berkata tiada golongan belia beragama Islam yang terlibat dalam program itu.


Walaupun tidak merujuk kepada Projek Artikel 11, Zawawi berkata Jais akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang melanggar peraturan di bawah Seksyen 5 dan 6 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam).


Seksyen 5 menyebut bahawa seseorang adalah melakukan kesalahan jika dia menyuruh, menyebabkan, memujuk, mempengaruhi, menghasut, menggalakkan atau membiarkan seorang belum dewasa yang beragama Islam supaya menerima ajaran dalam mana-mana agama bukan Islam; atau supaya menyertai apa-apa istiadat, perbuatan menyembah atau aktiviti keagamaan mana-mana agama bukan Islam; atau mengambil bahagian dalam apa-apa aktiviti yang dijalankan untuk faedah mana-mana agama bukan Islam.


Mereka yang melanggar seksyen ini boleh dipenjara sehingga setahun atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya sekali.


Sementara itu, Seksyen 6 menyebut mengenai kesalahan mendekati orang Islam untuk mendedahkannya kepada apa-apa ucapan atau peruntukan sesuatu mengenai agama lain.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau denda tidak melebihi RM5,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


"Kerajaan negeri Selangor berharap pihak Jais dan Jabatan Mufti dapat memberikan kerjasama yang baik kepada semua pihak terutamanya berkenaan garis panduan program keagamaan di rumah ibadah agama lain," katanya.

bottom of page