top of page
  • newsatmy

Selepas bapa meninggal dunia, Dian Sastrowardoyo terfikir untuk bunuh diri

11 Mei 2021

JAKARTA: Tertekan akibat kehilangan ayah tercinta hampir-hampir sama meragut nyawa pelakon popular Indonesia, Dian Sastrowardoyo.


Dian, 39, kehilangan ayahnya yang meninggal dunia akibat kanser hati semasa artis tersohor itu masih di sekolah menengah.


Ayahnya menghembuskan nafas terakhir pada 1995 dan beberapa hari sebelum saat duka itu terjadi, ibunya pula berlepas ke luar negara untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana.


Situasi ketika itu disifatkan Dian sebagai amat genting kerana buat seorang remaja yang masih mentah sukar baginya untuk memahami erti kehilangan.


Apa lagi ibu dan ayahnya sudah bercerai, justeru menyebabkan pelakon filem Ada Apa Dengan Cinta itu merasakan tiada apa lagi yang bermakna buatnya di dunia ini.


“Saya benar-benar buntu saat itu. Ibu dan ayah sudah lama berpisah ketika saya di sekolah rendah.


“Justeru, apabila ayah meninggal dunia dan ibu pula sudah ke luar negara menyebabkan fikiran saya bingung.


“Sebagai anak tunggal, saya benar-benar tertekan saat itu, bimbang tidak tahu ke mana arah tujuan hidup, terdetik dalam hati untuk bunuh diri untuk lari daripada segala kekusutan itu,” kata Dian ketika ditemubual oleh Dewi Sandara dalam program Heart to Heart yang ditayangkan di saluran YouTube baru-baru ini.


Namun begitu, akal fikirannya yang waras telah menggerakkan hatinya untuk berfikir sebaliknya dan Dian mula terfikir apakah sanggup membiarkan ibunya sendirian andai kata dia memilih mengakhiri usianya dengan cara sedemikian.


“Beruntung saya kerana ketika itu terlintas di fikiran apakah saya sedia membiarkan ibu bersendirian apabila dia kembali ke tanah air?


“Saya benar-benar sayangkan ibu saya dan tidak sanggup untuk kehilangan dia atau membiarkan dia kehilangan saya,” cerita Dian lagi.


Kekuatan ibunya mengharungi hidup sebagai ibu tunggal disifatkan Dian memberi inspirasi buatnya.


Sejak kanak-kanak lagi, Dian melihat bagaimana ibunya bekerja keras semata-mata kerana mahu mencari rezeki untuk membesarkannya.


“Ibu adalah wanita yang sangat kuat. Saya melihat bagaimana dia bekerja sangat keras, menguruskan kehidupan kami dua beranak sendirian. Kerana nilai dan sikap positif ibu itu juga mempengaruhi pemikiran saya,” tegas Dian yang kini bergelar ibu kepada dua cahaya mata.


-Astro Awani

bottom of page