top of page
  • newsatmy

Selepas 'Untok Kita', Satwo muncul dengan 'Gelap'

7 Jun 2021

SELEPAS muncul dengan single Untok Kitapada tahun lalu, duo Satwo (sebutan: Satu) menyinarkan muzik masa kini dengan Gelap.


Gelap merupakan single kedua pasangan suami isteri dari Pahang ini yang diterbitkan di bawah payung syarikat rakaman Luncai Emas Sdn Bhd.


Gelap adalah sebuah lagu tentang seseorang yang dihantui kisah silamnya dan ingin keluar mencari sesuatu yang lebih baik untuk dirinya.


"Di hujung lagu kita dapati beliau telahpun menemui cahaya di hujung terowong,” kata Rafiz, gitaris dan vokalis Satwo.


Antara ciri-ciri unik yang ada pada muzik Satwo adalah pembawakan vokal mereka di mana vokal utama Rafiz sentiasa diiringi vokal harmoni dan ad lib oleh Maz, selaku vokalis kedua yang juga bermain piano.


Hasilnya adalah suatu pameran suara yang mencerminkan keakraban, kebersatuan dan harmoni dalam hubungan mereka berdua, dan perkara ini jelas sekali dalam Gelap.


Di sini boleh dilihat bagaimana kehidupan mencerminkan seni, dan kehidupan mereka sebagai pasangan suami isteri telah mencerminkan karya mereka.


Bagi penerbit album Satwo yang bakal dipasarkan tidak lami lagi, Ilham dari Pitahati, lagu Gelap merupakan kegemarannya.


Gelap adalah antara lagu kegemaran saya waktu mereka menghantar demo pertama mereka kepada saya dahulu.


"Kuat hati saya merasakan bahawa lagu ini bakal ‘hit’. Lagu ini adalah antara sebab saya menawarkan diri menjadi produser album mereka,” kata Ilham.


Untuk merakamkan Gelap, Satwo telah menggunakan khidmat Aidil Azali (Iqbal M.) untuk dram, Masrin (Pitahati) untuk bass, Zahar dan Hidayat (Pitahati) untuk gitar sebagai pemuzik undangan.


Dalam lagu ini juga terdapat juga bunyi-bunyian synthesizer yang merupakan kerjasama antara Ilham dan Maz.


Bercerita lanjut tentang Gelap, Satwo menjelaskan, idea untuk lagu ini tercetus apabila Ilham memberi tugasan kepada mereka supaya menyiapkan empat lagu baharu dalam masa seminggu.


Namun mereka hanya mendapat idea satu hari sebelum menghantar demo mereka kepada Luncai Emas. Dalam keadaan tertekanlah lagu ini terlahir.


"Idea untuk lagu ini bermula dengan sebuah ukulele yang dimainkan Maz dalam gaya ‘koboi’ yang menjadi hook utama lagu ini, dan kini telah berkembang menjadi sesuatu yang lebih 'dahsyat'," kata mereka.


Pelancaran lagu Gelap disertai sebuah video muzik arahan Ameer Syafiq yang dilakukan di Mossy Forest, Cameron Highlands dan Taman Melawati.


Video ini adalah terbitan Luncai Emas dan boleh didapati di saluran YouTube Luncai Emas.


Ditanya tentang Satwo, ini jawapan ringkas Datuk M. Nasir selaku pemilik Luncai Emas, “Pop mereka unik dan tersendiri,”.


- Astro Awani

bottom of page