• Arissa Azman

Semua ADUN dan petugas wajib jalani ujian saringan sebelum sidang DUN Sabah

19 September 2021

KOTA KINABALU: Semua wakil rakyat dan petugas perlu melengkapkan dos suntikan vaksin COVID-19 sebelum menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Selasa ini.


Selain itu, mereka diwajib menjalani ujian calitan RTK-Antigen 48 jam sebelum hari perasmian sidang tersebut.


Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M Yahya berkata keputusan ujian saringan itu hendaklah dikemukakan kepada Pejabat DUN selewat-lewatnya Isnin ini dan selain itu penghadang antara ahli DUN juga disediakan di dewan persidangan tersebut.


Beliau berkata langkah tersebut adalah sebagai salah satu prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19.


Kadzim turut menasihatkan semua ahli DUN agar tidak terlalu lama berada di dalam dewan bagi mengelakkan jangkitan berlaku di lokasi tersebut.


"Bagi tujuan itu, kita akan memendekkan tempoh persidangan dan ahli DUN hanya akan membahaskan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Sabah (Tun Juhar Mahiruddin)," katanya kepada pemberita selepas meninjau raptai persidangan itu di Bangunan DUN Sabah, Teluk Likas, di sini pada Sabtu.


Mengenai jumlah kehadiran ahli dewan, beliau berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang permohonan untuk pengecualian hadir pada persidangan tiga hari itu.


"Kita lihat Isnin ini ada atau tidak sebab kita pun maklum beberapa Yang Berhormat ini merupakan Ahli Parlimen dan mereka masih bersidang (Dewan Rakyat)," katanya.



-- BERNAMA