top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Semua yang berhimpun di Dataran Merdeka diminta buat saringan COVID-19 – Redzuan

3 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof menyeru semua yang hadir ke perhimpunan pembangkang di Dataran Merdeka hari ini terutamanya ahli parlimen, petugas media, anggota polis dan pegawai yang mengiringi ahli parlimen yang terlibat, supaya menjalani ujian saringan COVID-19.


Beliau berkata ini susulan penularan wabak COVID-19 di bangunan Parlimen minggu lalu yang melibatkan varian Delta, dikhuatiri semua yang hadir di perhimpunan itu juga terdedah kepada risiko jangkitan.


“Saya lihat mereka tidak mengikut SOP yang ditetapkan dan tiada penjarakkan sosial.


“Malah mereka bersesak-sesak dan berkumpul seperti yang lazimnya mereka lakukan ketika perhimpunan jalanan anjuran mereka,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.


Terdahulu, sebahagian besar Ahli Parlimen pembangkang berarak dari Dataran Merdeka menuju bangunan Parlimen susulan penangguhan Sidang Dewan Rakyat, Parlimen pada hari ini.


Antara yang hadir, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen Bagan Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.


Mengulas lanjut, Redzuan berkata beliau bimbang penularan wabak COVID-19 dan kemungkinan melibatkan ahli Parlimen yang merupakan tunggak utama demokrasi dinegara ini.


“Buat masa kini, Parlimen ditangguhkan maka kita harus akur.


“Namun, mereka sebagai ahli Parlimen juga harus menjaga nama baik institusi Parlimen dan integriti sebagai ahli Parlimen yang tidak melanggar undang-undang dan menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat,” katanya.




--PN Online

bottom of page