Setahun Ismail Sabri menggalas amanah sebagai PM
21 OGOS lalu genaplah setahun Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-9.
Perjalanan menjadi Perdana Menteri buat beliau bukannya sesuatu yang mudah apatah lagi menurut beliau sendiri bukan sesuatu yang dirancang.
Bermula dengan kekalahan Barisan Nasional dan kejayaan Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, Ismail di peringkat awalnya menjadi Ketua Pembangkang yang pertama dari BN di Dewan Rakyat.
Belum pun panas bangkunya sebagai Ketua Pembangkang, tempat yang pernah diduduki oleh Lim Kit Siang dan Ustaz Fadzil Nor, Ismail kembali ke Kabinet apabila Kerajaan PH tumbang pada Februari 2021 berikutan Perdana Menterinya Tun Dr Mahathir meletak jawatan.
Lalu tertubuhlah Kerajaan Perikatan Nasional di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ismail menjadi Menteri Kanan Pertahanan. Kerajaan ini dianggotai BERSATU, BN, PAS dan GPS dari Sarawak.
Pada bulan Julai 2021 Ismail diangkat pula sebagai Timbalan Perdana Menteri dan tidak sampai 40 hari pada Ogos tahun yang sama berikutan pengunduran Muhyiddin, Ismail naik sebagai Perdana Menteri ke-9.
Tidak ada Perdana Menteri di Malaysia yang melalui rekod seumpama beliau, dan menurut rekod juga tidak pernah Malaysia menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri dalam satu penggal sebelum ini.
Demikianlah liku-liku yang dilalui Ismail. Sejurus menjadi Perdana Menteri setahun lalu, ketika Malaysia sedang gawat dilanda pandemik COVID-19, ekonomi negara dan dunia malap, politik negara tidak stabil dan masa depan negara sendiri tidak menentu, beliau menggalas tanggungjawab memegang teraju.
Dalam keadaan mencabar sedemikian, hanya mereka yang cekal, berani dan sabar sahaja yang mampu mengemudi bahtera negara, ternyata kini setelah setahun bahtera besar tadi tidak lagi goyang atau condong sebaliknya semakin tenang dan teguh dikemudi melalui samudera yang serba luas dan penuh dugaan.
Ismail cepat menguasai keadaan. Beliau sedar kestabilan politik adalah penentu utama yang akan membantu kestabilan negara dan pemulihan ekonomi, justeru langkah pertama yang diambilnya adalah menguruskan keserabutan yang ada. Pihak pembangkang telah diajak berunding dan akhirnya bersetuju pada MOU yang membawa kepada ‘gencatan senjata’ politik.
Masing-masing mengakui bahawa tumpuan perlu diberikan pada pemulihan ekonomi dan pembangunan sosial kerana negara sedang berhadapan dengan krisis. Politik yang ekstrem dan keterlaluan di peringkat ini hanya merugikan rakyat dan negara.
Kemudian atas keprihatinan beliau demi mengembalikan keyakinan rakyat maka diperkenalkannya gagasan ‘Keluarga Malaysia’ iaitu suatu usaha murni untuk mengajak rakyat Malaysia membangunkan negara dengan kembali kepada asas dan nilai-nilai kekeluargaan, bersama bertanggungjawab dan berkasih-sayang, insaf bahawa tanggungjawab ini adalah tugas dan tanggungjawab bersama.
Terbukti usaha murni beliau diterima baik rakyat kerana dalam kemelut politik yang tidak menentu rakyat sesungguhnya sangat mengharapkan agar keikhlasan dan kesungguhan pimpinan mereka untuk memimpin dan memandu mereka keluar dari jurang kegelapan ini. Pada Ismail rakyat mula yakin dan memberikan kerjasama. Kini setelah setahun memegang teraju cahaya di hujung terowong sudah mula kelihatan.
Hari ini ancaman COVID-19 semakin terurus dan mula menampakkan kejayaan. Pemulihan negara mula kelihatan apabila pelbagai kekangan dan halangan sewaktu pandemik dahulu sudah semakin longgar dan diangkat sepenuhnya. Hasilnya ekonomi negara kembali hidup, dan kehidupan rakyat semakin kembali normal.
Di bawah Ismail kadar inflasi negara buat 6 bulan pertama 2022 iaitu pada 2.5 peratus merupakan kadar terendah di ASEAN. Manakala kadar pengangguran negara pula setakat Jun tahun ini juga adalah terendah sejak pandemik meletus Mac 2020 iaitu pada kadar 3.8 peratus.
Dan Bank Negara Malaysia telah umumkan bahawa KDNK negara untuk suku kedua tahun ini meningkat iaitu pada 8.9 peratus, suatu pencapaian yang malah lebih baik dari beberapa negara maju.
Benar ekonomi negara masih belum pulih sepenuhnya tetapi di bawah Ismail rakyat sedar dan mula melihat pencapaian demi pencapaian yang sudah pasti melegakan mereka dan mengembalikan keyakinan mereka yang selama ini terumbang-ambing angkara konflik politik yang tidak menguntungkan.
Apapun diharapkan Ismail terus mengemudi negara dengan ketelusan, integriti dan sentiasa meletakkan kepentingan agama, bangsa dan negara di hadapan.
Harus diakui bahawa segala ujian yang dilalui negara selama ini sama ada politik mahupun ekonomi adalah merupakan ujian dari Allah S.W.T belaka. Ianya tercetus apabila kita khasnya pimpinan negara lalai, dan menjauhkan diri dari kehendak dan titah perintahNya.
Kita mengundang murkaNya, kita mabuk dalam dalam keseronokan dan maksiat yang melampau. Kita menzalimi rakyat dan bergelumang dalam amalan rasuah dan salah-guna kuasa.
Apabila ancaman Allah S.W.T tidak dipedulikan maka dihujanilah kita dengan pelbagai ujian dan cabaran sebagaimana yang telah kita lalui dan tanggung sebelum ini. Oleh itu sebagai Perdana Menteri dalam suasana yang sebegini, Ismail perlu memisahkan dirinya dari tradisi kepimpinan yang jauh dari agama.
Bawalah rakyat mendekati Allah S.W.T dan mensyukuri segala nikmatNya dengan mematuhi dan berpegang teguh pada hukum-hakamNya. Ismail tidak akan rugi apabila beliau memilih jalan yang diterokai Rasulullah S.A.W dan para Sahabat Baginda kerana jalan itulah jalan yang dikehendaki Allah S.W.T.
Semangat Keluarga Malaysia yang mahu ditekankan itu tidak sama-sekali menyimpang malah selaras dengan ajaran Islam yang turut menekankan kerukunan keluarga dan kemuliaan akhlak serta keperibadian.
Dengan kuasa yang dipinjamkan oleh Allah S.W.T ini kepada kita, maka pimpinlah rakyat dan negara berbekalkan taqwa dan sentiasa jauh dari kemurkaanNya.
Menteri di JPM Hal Ehwal Agama, Ustaz Dato’ Idris Ahmad baru-baru ini menyarankan agar kita mengambil iktibar dari musibah COVID-19 yang melanda negara dan dunia dengan kembali kepada Tuhan.
Kejayaan setahun kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia haruslah disyukuri Ismail dengan mengambil pendekatan politik perdamaian sebagaimana dituntut agama.
Kekuatan negara bertunjang pada keutuhan dan kekuatan umat Melayu Islam yang merupakan kelompok teras yang terbesar dalam negara, oleh itu usahakanlah agar suatu permuafakatan politik dapat dibentuk, biar nasib dan masadepan negara ditentukan oleh umat Melayu Islam yang selama ini mampu memberikan keadilan buat semua.
Dengan kualiti kepimpinan yang beliau miliki, Ismail diyakini akan kekal sebagai Perdana Menteri walaupun selepas PRU ke-15 nanti, syaratnya sentiasalah berada di jalan yang lurus yang dikehendakiNya.
Comments