top of page
  • zaman

Shahidan kemuka usul minta Parlimen bahas isu keluar KWSP


KUALA LUMPUR, 20 Feb – Seorang Ahli Parlimen pembangkang hari ini mengemukakan usul tergempar meminta Dewan Rakyat membahaskan mengenai permohonan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.


Usul itu dikemukakan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 18(1), bagi meminta Dewan Rakyat membahas dan menggesa kerajaan segera meluluskan pengeluaran KWSP secara bersasar kepada rakyat yang terdesak.

“Pencarum sudah semakin terdesak, tambahan pula harga barang semakin naik dan kos sara hidup yang meningkat saban hari.

“Ada yang terpaksa menjual harta dan tinggal sehelai sepinggang. Sudah menjadi tanggungjawab Ahli Parlimen untuk mengotakan janji membantu rakyat.

“Oleh demikian, saya rasa isu ini perlu disegerakan untuk dibincangkan kerana Kerajaan Perpaduan boleh mengambil langkah sama seperti dilakukan sewaktu era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub sebagai Perdana Menteripengeluaran KWSP secara bersasar secara berperingkat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.


Mengulas lanjut, Shahidan menegaskan tuntutan pelbagai pihak yang mahu kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP adalah selaras dengan Seksyen 54 Akta KWSP 1991, yang memberi kuasa kepada KWSP membenarkan pengeluaran caruman bagi tujuan pembiayaan kelangsungan hidup.


Katanya, pencarum amat memerlukan wang hasil titik peluh mereka berikutan sesi persekolahan tahun ini akan dibuka pertengahan tahun depan, selain akan menyambut Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Berdasarkan laporan KWSP pada Disember tahun lalu, terdapat peningkatan pencarum, majikan dan pencarum aktif. Ini bererti aliran tunai tak jadi masalah (buat KWSP),” katanya.


Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, membuat keputusan ‘luar biasa’ membenarkan Shahidan membaca usul tergempar itu di Dewan Rakyat selepas usul itu ditolak.


Johari memberi kebenaran untuk Shahidan membacakan usul itu kerana memahami isu yang dibawa Ahli Parlimen Arau itu adalah perkara besar.


Meskipun menolak usul itu untuk dibahaskan buat masa ini, Johari meminta Shahidan membawa semula usul berkenaan ketika perbahasan Belanjawan 2023 yang dijadualkan bermula Isnin depan.

“Insya-Allah, sesi Bajet 2023 akan berlaku selepas 24 Februari. Saya harap Arau bawa isu ini sekali lagi untuk dibahaskan,” katanya.

bottom of page