top of page
  • newsatmy

Sharifah Rose tak kisah dikritik

28 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Pelakon baharu, Sharifah Rose Sabrina, 23, tidak mengambil hati apabila ada segelintir pihak mempersoalkan tindakan penerbit drama mengambil selebriti media sosial sepertinya sebagai pelakon.


Sharifah Rose juga tidak menyalahkan mana-mana pihak yang mempertikaikan keperluan selebriti media sosial diangkat sebagai pelakon. Baginya, setiap orang berhak memberikan pendapat masing-masing.


Namun, pelakon yang pernah dikaitkan menjalinkan hubungan dengan anak tiri penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Aazief Khalid itu yakin, pertikaian mengenai pemilihan 'Instafamous' sebagai pelakon tidak ditujukan kepadanya, berikutan dua drama lakonannya, Kisah Cinta Rumi dan Kekasih Hati Mr Bodyguard masih belum ditayangkan.


"Dua drama dijayakan masih belum menjengah ke kaca televisyen. Jadi, apabila dikritik, saya tidak tahu berdasarkan apa mereka mengkritik saya.


"Bagaimanapun, saya tidak ambil hati apabila selebriti media sosial dikritik. Bagi saya, kritikan perkara biasa dan saya terbuka dengannya. Lazimnya, kontroversi juga tidak bertahan lama, hanya beberapa ketika orang luar memperkatakan mengenainya," katanya kepada BH Online.


Nama Sharifah Rose tiba-tiba menjadi sebutan gara-gara ciapan dibuat pelakon, Izara Aishah mengenai kewujudan selebriti media sosial dalam dunia lakonan.


Ramai membuat andaian ciapan itu ditujukan kepada Sharifah Rose, namun disangkal pelakon Pilot Cafe itu.


Sharifah Rose dilihat turut memuat naik ciapan, namun menafikan ditujukan kepada Izara, sebaliknya menjelaskan ia dituju kepada rakan satu kampus.


Sharifah Rose tidak menyalahkan mana-mana pihak yang mempertikaikan keperluan selebriti media sosial diangkat sebagai pelakon. - Foto IG Sharifah Rose


Bagi mengelakkan kemampuannya sebagai pelakon dipersoalkan, Sharifah Rose mengambil inisiatif dengan menyertai kelas lakonan di bawah bimbingan Ellie Suriaty.


Sharifah Rose mendedahkan, dia tidak pernah terlintas untuk bergelar pelakon, tetapi kini semakin seronok biarpun masih cuba menyesuaikan diri dalam industri seni.


"Jujurnya, saya terfikir mahu bergelar pelakon. Dua tahun lalu saya pernah mencuba berlakon dalam telefilem Cerita Hantu Asrama, tetapi hanya watak sampingan.


"Saya menerima panggilan telefon produksi meminta menghantar video uji bakat, baru-baru ini. Saya gagal pada uji bakat pertama, tetapi mereka meminta saya menghantar satu lagi video.


"Namun, tidak sangka pula produksi berminat dan menawarkan watak pelakon pembantu.


"Mulanya, saya agak kekok dan memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri. Mujur, pengarah dan kru produksi banyak membantu ketika di lokasi penggambaran. Saya berterima kasih kerana sudi mengajar saya," katanya. - BH

bottom of page