top of page
newsatmy

Siapa bakal Ketua Menteri Melaka?

20 NOVEMBER 2021

MELAKA: Melaka akan mula memilih hari ini selepas hampir dua minggu berkempen untuk pilihan raya negeri yang terpaksa dilakukan hanya kerana empat orang ADUN menarik sokongan kepada Ketua Menteri ketika itu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.


Pilihan raya besar pertama yang akan diadakan di negara ini ketika wabak COVID-19 masih mencatatkan kes yang membimbangkan.


Pada 4 Oktober lalu, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam mengumumkan bahawa sidang DUN Melaka ke-14 telah dibubarkan, yang diwartakan secara rasmi pada 5 Oktober.


Pilihan raya negeri Melaka juga merupakan kali pertama tiga gabungan politik utama negara – BN, PH, dan PN – semuanya akan bertanding secara berasingan.


Walaupun BN dan PN bergabung secara nominal di peringkat Persekutuan, ketiga-tiga gabungan itu bertanding di semua 28 kerusi, mewujudkan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru, tidak mengira calon bebas atau parti serpihan lain yang bertanding dalam pilihan raya.


Persoalan yang jelas bukan hanya siapa yang bakal menang dalam perebutan kerusi di DUN sahaja, namun persoalan yang “agung” bagi sebuah pilihanraya negeri adalah siapakah yang bakal mengemudi negeri Melaka sebagai Ketua Menteri apabila gabungan mereka menang.


PH mengekalkan bahawa ia mahu Adly Zahari sebagai calonnya untuk jawatan Ketua Menteri, manakala BN telah menamakan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai pilihannya dan Perikatan Nasional telah menamakan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calonnya.


PH mahu menonjolkan satu tokoh untuk memimpin Kerajaan Negeri dan prestasi Adly selama 22 bulan nyata memenuhi kriteria tersebut.


Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, naratif dan pilihan mereka tentang calon tunggal Ketua Menteri adalah konsisten, demi mengembalikan mandat yang dimenangi pada PRU2018.


Bagi BN pula, pemilihan Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk menerajui kerajaan negeri, jika gabungan itu menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah bersandarkan mandat rakyat.


BN berkata fokus parti itu kini adalah untuk menstabilkan kembali kerajaan negeri.


“Jika diberi mandat rakyat kepada BN untuk mentadbir Melaka, kita sudah tetapkan Datuk Seri Sulaiman Md Ali akan dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka sehingga habis penggal.


“Apabila sudah ada kestabilan itu, seorang Ketua Menteri yang juga pentadbir yang mantap dan didokong oleh parti serta disokong oleh rakyat, maka dia perlu menumpukan sepenuh tumpuannya untuk meneruskan dan memakmurkan negeri,” katanya dalam satu video disiarkan oleh Facebook (FB) rasmi BN.


Penamaan Datuk Wira Mas Ermieyati, sebagai calon Ketua Menteri Melaka jika sekiranya PN menang dalam PRN Melaka adalah amat menarik untuk diulas menurut Profesor Pusat Pengajian Antarabangsa UUM, Prof Kamarulnizam Abdullah.


Menurut beliau, ini merupakan buat pertama kalinya dalam sejarah politik Malaysia, kemungkinan pemimpin wanita akan menjadi Menteri Besar atau Ketua Menteri.


“Mas Ermieyati dilihat mewakili generasi baharu pemimpin pelapis bukan sahaja di Melaka tetapi juga Malaysia. Ini boleh memberi kelebihan untuk menarik undi generasi muda dan pengundi atas pagar yang sudah jelek dengan iklim politik Malaysia yang dikuasai oleh beberapa dinasti keluarga dan “warlord”.


“Dominasi pemimpin lama masih ketara yang mana menyebabkan pengundi generasi baharu marasakan tidak akan ada perubahan jika mereka keluar mengundi.


Masalah integriti dan politik wang akan terus menguasai politik Malaysia. Di samping itu penamaan Mas Ermieyati merupakan satu cubaan PN untuk meraih sokongan pengundi wanita. Samada ini boleh diterjemahkan dalam bentuk undi masih sukar diramalkan,” ujarnya.


Malah menurut Kamarulnizam yang juga merupakan seorang penganalisa politik juga sukar untuk memberikan kata pasti gabungan mana yang akan berjaya menguasai Melaka kerana persaingan cukup sengit.


“Tidak dinafikan kemungkinan pembentukan kerajaan campuran akan berlaku lagi jika tiada satu pun parti boleh menguasai majoriti mudah. Saingan Mas Ermieyati adalah dua bekas Ketua Menteri yang sudah tentu mempunyai kelebihan masing-masing.


“Pihak BN dan PH memainkan sentimen pengkhianatan dalam kerajaan yang menyaksikan kedua-dua mereka terpaksa meletakan jawatan. Dari aspek pengalaman ini, Mas Ermieyati dilihat sebagai “underdog” yang perlu membuktikan bahawa beliau berupaya menjadi Ketua Menteri wanita pertama setanding dengan kedua-dua calon tersebut.


Dalam pada itu katanya, pengalaman beliau sebagai Timbalan Menteri di peringkat Persekutuan boleh dijadikan asas kepada keupayaan beliau memimpin kerajaan negeri,” ujarnya lagi.

Comments


bottom of page