top of page
  • Writer's pictureNihaba

Siapakah yang layak jadi PM?


Pengumuman yang berkonsepkan perpaduan atau bi-partisan yang dibuat sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Dato' Haji Mahiaddin bin Md. Yasin rentetan kemelut politik yang tidak berkesudahan yang sedang melanda negara nampaknya tidak disambut oleh Ahli Parlimen blok pembangkang. Pada hemat mereka, kabinet pimpinan Abah gagal dalam segala aspek walaupun bukti dan perkembangan positif kurangnya pesakit Covid-19 dimasukkan ke dalam wad ICU dikongsi oleh ramai pekerja kesihatan. Program Vaksinasi juga telah berjaya mencapai sejumlah 27.8 juta penduduk dengan komposisi Dos 1 seramai 17 juta adalah yang tertinggi di dalam Asia Tenggara. Walaupun pengumuman kali ini lebih kepada kejadian sebenar, apa yang sedang berlaku, apakah pelan tindakan yang perlu dibuat untuk kemaslahatan rakyat, dan yang paling hangat dibualkan tawaran Abah kepada Ahli-ahli Parlimen agar semangat Bi-partisan dapat dilaksanakan demi memastikan kerajaan tetap teguh dan stabil bagi melaksanakan segala dasar dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang memberi kesan secara terus kepada kebanyakan orang, namun Ahli-ahli Politik masih tetap dibutakan oleh serakah kuasa dan yang paling ketara, cubaan untuk meloloskan diri daripada kuasa undang-undang.


Akhirnya, Abah menzahirkan hasrat beliau untuk meletakkan jawatan dan dijangka surat perletakan jawatannya akan disampaikan kepada Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) pada hari Isnin ini selaras dengan Perkara 43 (4) dimana Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Persoalannya, siapakah yang benar-benar layak?


Berbalik kepada Perkara 43 (2) (a) tadi, (YDPA) hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu. Jadi, takrifan yang benar-benar layak disini bermaksud seseorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.


Jika dilihat dari segi kedudukan blok seperti di bawah,

Sokongan Ahli Parlimen terhadap Abah dijangka 102 orang dan baru-baru ini telah disahihkan hanya tinggal 100 orang sahaja yang masih kekal menyokong. Blok yang tidak menyokong pula terdiri daripada 118 orang Ahli Parlimen. Secara perkiraan Matematik mudah, sememangnya Perikatan Nasional tidak lagi mempunyai majoriti mudah, namun yang menjadi tanda tanya adakah kesemua Ahli Parlimen yang tidak menyokong Abah sebulat suara mengangkat hanya seorang individu dari kalangan mereka sebagai calon terbaik untuk dilantik menjadi Perdana Menteri? Di bawah merupakan ilustrasi grafik yang dipercayai pecahan sokongan Ahli Parlimen mengikut blok sokongan:

Dan jika dilihat daripada pecahan yang ada, adalah mustahil untuk sesiapapun mengisytiharkan mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.


Untuk pengetahuan pembaca, meletak jawatan adalah pilihan Perdana Menteri dan bersetuju dengan permintaan pembubaran Parlimen pula merupakan kuasa budi bicara YDPA mengikut Perkara 40(2)(b). Setelah Perdana Menteri meletak jawatan, soal pemilihan jawatan itu adalah kuasa budi bicara Agong untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat sokongan majoriti ahli dewan. Siapa Agong akan pilih? Mengikut konvensyen, Agong akan meminta ketua pembangkang terlebih dahulu untuk membuktikan dia mempunyai majoriti. Sekiranya tidak ada, Agong akan meneruskan pertimbangan baginda untuk memilih sesiapa yang pada pandangan baginda mendapat sokongan majoriti ahli dewan. Adalah mustahak untuk kita fahami bahawasanya, seseorang Perdana Menteri tidak boleh diganti dengan Timbalan Perdana Menteri secara automatik, sebaliknya proses lantikan itu harus bermula dari awal.


Ada yang merujuk kepada peristiwa peletakan jawatan Dr. Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pada 18 tahun lalu, Agus berkata, Timbalan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dilantik mengisi kekosongan berkenaan kerana Agong ketika itu yakin dia memiliki sokongan majoriti Ahli Dewan. Pucuk pangkalnya ialah sokongan majoriti Ahli Dewan.


Apa berlaku setelah Agong memilih Perdana Menteri? Perdana Menteri yang baru dilantik perlu mendapatkan undi percaya terhadapnya di Dewan Rakyat demi menentukan keabsahan kerana itu saluran betul bagi melihat sejauh mana beliau mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.


Berbalik kepada ilustrasi grafik tadi, agak sukar untuk meramal siapa yang akan menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri baru sekiranya Abah meletak jawatan kerana yakin semua pihak kini mempunyai gerakan dalam mengukuhkan kedudukan masing-masing. Risikonya, kemelut politik yang sedang dihadapi ini belum tentu akan berakhir walaupun abah melepaskan jawatan Perdana Menteri kerana tiada sesiapa pun yang mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. Namun begitu, semua pihak perlu akui Seri Paduka lebih arif dalam menentukan siapa yang layak menyandang jawatan Perdana Menteri.


Terserah kepada kebijaksanaan Seri Paduka untuk memilih siapa yang akan menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri. Seterusnya, sesiapa saja dilantik Seri Paduka perlu menguji keabsahannya di Parlimen dalam sidang pertamanya kerana itu yang mustahak selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Di situ, kita akan lihat berapa ramai ahli Dewan Rakyat beri sokongan dan dengan cara itu, keadaan jadi lebih stabil dan beliau boleh fokus kepada tugas mentadbir negara terutama dalam menangani cabaran pandemik Covid-19.


Dan jika pada hemat baginda YDPA, tiada sesiapapun yang boleh membuktikan bahawasanya mereka mempunyai majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, maka jalan terbaik adalah dengan meminta perkenan baginda untuk membubarkan Parlimen seperti yang termaktub di dalam Perkara 43 (4). Juga tertakluk kepada fasal yang sama, Menteri-Menteri selain Perdana Menteri hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, melainkan jika pelantikan mana-mana Menteri telah dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, tetapi mana-mana Menteri boleh meletakkan jawatannya.


Ketika Parlimen terbubar, pasti rakyat tertanya-tanya siapakah yang akan memimpin negara? Adakah baginda YDPA? Jawapannya tidak. Ini kerana, selaras peruntukan proviso Perkara 43(2) Perlembagaan, menyatakan Perdana Menteri yang akan memegang jawatan ketika dalam kerajaan sementara apabila Dewan Rakyat terbubar sehingga kerajaan baharu dibentuk melalui pilihan raya baharu. Dari segi istilah dan amalan umum, kerajaan sementara ialah apabila Dewan Rakyat dibubarkan, namun dalam konteks sekarang ia boleh dilantik jika Perdana Menteri hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat mengikut Perkara 43 (4) dan syarat Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan pembubaran Dewan Rakyat. Ini dapat dilihat melalui pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri interim selepas beliau meletak jawatan pada 24 sehingga 29 Februari 2020 ketika 'Langkah Sheraton' berlangsung.


Perdana Menteri interim ini dilantik Yang di-Pertuan Agong dan ia tidak bercanggah peruntukan Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang lain termasuk Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969. Menurut kebanyakan pakar perlembagaan, konvensyen kerajaan sementara wujud dalam tiga keadaan.


Pertama, ketika kerajaan hilang sokongan di tengah-tengah penggal melalui undi tidak percaya tetapi menjalankan tugas kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu dilantik, kedua ketika kerajaan dijatuhkan tidak melalui sokongan undi percaya dan tidak berdepan dengan undi percaya di Parlimen, dan ketiga apabila kerajaan meletak jawatan namun terus menjadi kerajaan sebelum kerajaan baharu dibentuk. Jadi, konvensyen perlembagaan menekankan pentingnya undi kepercayaan dijalankan ketika kerajaan baharu dibentuk, terutama ya apabila kerajaan lama dijatuhkan.


Walaupun peruntukan Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan mengenai kerajaan sementara dan kuasa Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara itu, amalan kerajaan sementara di negara ini berasaskan Amalan Westminster dan konvensyen, iaitu kerajaan sementara adalah individu sama dalam Kabinet sebelum Parlimen dibubarkan, kesimpulannya Perdana Menteri sebelum pembubaran akan memimpin kerajaan sehingga pilihan raya.


Secara kesimpulannya, semua pihak terutamanya ahli politik harus menghormati setiap keputusan yang akan diputuskan baginda YDPA sekiranya ada nama dipilih bagi jawatan Perdana Menteri, menggantikan abah sekiranya beliau memilih untuk meletakkan jawatan atau setelah Parlimen dibubarkan abah tetap dilantik menjadi Perdana Menteri sementara sehingga Pilihan Raya akan dating yang dijangka diadakan antara bulan Mac hingga Julai 2022. Mungkinkah kita bakal melihat satu lensa baru arena politik tanah air agar titik tengah dapat disepakati untuk mengenepikan krisis secara bersama dan memberikan segala penumpuan kearah kebaikan rakyat dan negara? Sama-sama kita nantikan babak seterusnya.



--PN Online



bottom of page