top of page
  • Writer's pictureNihaba

Siasatan jenayah fitnah terhadap Muhyiddin zalim: Kumpulan peguam

15 mac

Kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) membidas tindakan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang membuat aduan jenayah fitnah terhadap bPengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Sebaliknya, kumpulan hak asasi manusia itu berkata Putrajaya sepatutnya memfailkan tindakan sivil terhadap bekas Perdana Menteri itu, bukan laporan polis mendakwa berlakunya fitnah.


Pengarah LFL, Zaid Malek berkata, tindakan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kamil Abdul Munim, membuat laporan polis mendakwa berlakunya fitnah “mengejutkan dan tidak demoktratik”.

“Kami merujuk kepada pengumuman polis semalam bahawa mereka telah membuka penyiasatan untuk jenayah fiynah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas dakwaan kenyataan berunsur fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kesalahan itu membawa hukuman penjara.


“Jelas sekali laporan polis itu tidak mungkin dibuat tanpa kelulusan Anwar. Dan tujuan laporan polis itu jelas adalah untuk menutup kritikan terhadap Anwar oleh lawan politiknya Muhyidin dan mungkin orang lain yang memilih untuk mengkritik Anwar.

“Bercanggah dengan undang-undang dan Perlembagaan, serta zalim apabila perdana menteri atau mana-mana menteri bergantung kepada pihak berkuasa untuk menyekat sebarang ucapan yang ‘mewujudkan persepsi negatif’ terhadap kepimpinan mereka, seperti yang didakwa oleh setiausaha politik Anwar.

“Jika Anwar atau sesiapa dalam kerajaan merasakan mereka telah difitnah, ada jalan lain di mahkamah sivil untuk mereka membersihkan nama. Dalam demokrasi kita, perdana menteri tidak mempunyai status istimewa bawah undang-undang yang membezakannya daripada rakyat biasa.

“Salah di sisi undang-undang untuk beliau menggunakan polis bagi mempertahankan reputasinya,” katanya dalam kenyataan di laman sesawang LFL hari ini (15 Mac 2023).

Zaid mempersoalkan Anwar sama ada beliau masih ingat bagaimana ahli Pakatan Harapan (PH) disiasat polis kerana mengkritik bekas perdana menteri Najib Razak.


Beliau menggesa Anwar mengarahkan pembantunya menarik balik laporan polis dengan segera dan membawa perkara itu ke mahkamah sivil.

“Sementara itu, polis mesti menghentikan serta-merta sebarang siasatan jenayah bagi kenyataan yang didakwa berunsur fitnah,” katanya.


Sebelum ini, Kamil membuat laporan polis terhadap Muhyiddin berhubung dakwaan Presiden Bersatu itu bahawa kerajaan menyalahgunakan agensi penguatkuasaan untuk penganiayaan politik.


Polis Putrajaya kemudiannya berkata, siasatan telah bermula bagi kes fitnah dan penggunaan kemudahan rangkaian secara tidak wajar.

Semalam, Ketua Polis Putrajaya Asmadi Abdul Aziz berkata, Muhyiddin akan dipanggil untuk memberi keterangan.

bottom of page