top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Sidang DUN: Kedah tunggu Parlimen bersidang - MB

20 Jun 2021

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan Kedah belum bercadang untuk mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan hanya melaksanakannya selepas Parlimen bersidang.


Muhammad Sanusi berkata, pihaknya tidak akan mengadakan persidangan dalam tempoh terdekat berikutan masih terikat dengan Ordinan Darurat.

“Bentuk persidangan DUN kelak bergantung kepada perkembangan semasa selepas Parlimen bersidang.


"Kita belum tahu bila persidangan Parlimen akan berlangsung, jadi kita belum memastikan samada DUN akan diadakan secara bersemuka ataupun maya bergantung kepada perkembangan semasa.


"Secara lazimnya, persidangan DUN Kedah diadakan pada Julai atau Ogos, namun kali ini kita berdepan kekangan akibat pandemik COVID-19," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Januari lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas darurat menjelaskan Pilihan Raya Umum, Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Kecil serta persidangan Parlimen dan DUN tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat.


Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, sebelum sidang DUN diadakan, pihaknya akan meneliti dan merujuk kepada format dan prosedur operasi standard (SOP) Parlimen terlebih dahulu untuk dijadikan panduan.


Katanya, persidangan DUN Kedah berkemungkinan hanya membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri dan pegawai kerajaan tanpa kehadiran pemerhati, namun persidangan boleh disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi kerajaan negeri.


“Ia dilakukan dengan mematuhi SOP ketat yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan,” jelasnya.


Kali terakhir persidangan DUN Kedah diadakan adalah pada 15 hingga 19 November lalu, ketika Muhammad Sanusi membentangkan Belanjawan Kedah 2021.



-Awani

bottom of page