top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Sidang DUN Negeri Sembilan, Ogos depan

24 Jun 2021

SEREMBAN: Negeri Sembilan dijadual mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara bersemuka, pada minggu pertama Ogos ini.


Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata perkara itu sudah diperkenankan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, semalam.


"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini sudah mencadangkan perasmian sidang DUN diadakan pada minggu pertama Ogos ini.


"Unit DUN telah diminta membuat semua urusan dan tanggungjawab yang sepatutnya mereka lakukan untuk menghantar notis dan warta bagi memastikan sidang DUN dapat dijalankan dengan baik dan lancar.


"Saya telah menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan semalam dan baginda juga telah memberi perkenan. Kita akan mengadakan persidangan secara bersemuka," katanya kepada pemberita secara dalam talian selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO di sini, hari ini.


Dalam laporan sebelum ini, Aminuddin berkata, kerajaan negeri bersedia mengadakan persidangan DUN dengan seberapa segera, tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang di-Pertuan Agong.


Sebelum itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Zainal Syed Ahmad menerusi kenyataan media yang dikeluarkan dengan perkenan Raja-Raja Melayu memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah mencadangkan agar Parlimen segera bersidang.


Di peringkat negeri pula, Raja-Raja pemerintah turut berpendirian agar Dewan-dewan Undangan Negeri dibolehkan bersidang secepat mungkin.


Kali terakhir DUN Negeri Sembilan bersidang adalah pada 3 Disember 2020, berdasarkan Peraturan IV Perintah 2, Peraturan-peraturan Tetap dan Perintah-perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Sembilan Tahun 1960.


Tarikh persidangan selanjutnya hendaklah diadakan tidak lebih enam enam bulan dari tarikh 3 Disember 2020 iaitu jatuh pada 2 Jun 2021.


Bagaimanapun, tempoh enam bulan itu terhenti melalui proklamasi darurat dan tempoh enam bulan akan berjalan semula sejurus selepas 1 Ogos 2021 (sekiranya darurat tidak disambung lagi).



--BH

bottom of page