top of page
  • cik skod

Skuad pecut lelaki negara sapu bersih pingat 100m di Australia


KUALA LUMPUR 19 Mac: Skuad pecut lelaki negara, mencipta sensasi apabila menyapu bersih pingat perlumbaan pemanas badan Sukan SEA, Kemboja pada Kejohanan Siri Shield: Darren Thrupp Shield di Queensland, Australia semalam.


Pengurus Besar Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Nurhayati Karim yang berkongsi kejayaan itu berkata atlet pecut negara Khairul Hafiz Jantan, menemui rentak lariannya apabila meraih emas dengan catatan masa 10.34 saat (s) sekali gus melakar catatan masa terbaik peribadinya musim ini.

Beliau berkata Muhammad Haiqal Hanafi meraih tempat kedua (10.41s) diikuti Jonathan Nyepa (10.43s) dan Muhammad Zulfiqar Ismail (10.48s) masing-masing meraih tempat ketiga dan keempat.

Khairul Hafiz ketika dihubungi hari ini memaklumkan, pencapaian yang diraihnya itu merupakan tonik terbaik buatnya menjelang temasya Sukan SEA, Kemboja.

"Saya sendiri tidak menjangka mampu dapat catatan itu, sebab saya baru sampai kelmarin dan perjalanan agak jauh jadi saya kepenatan, semalam itu rezeki, Alhamdulillah untuk kami semua.


"Insya-Allah saya boleh perbaharui lagi catatan masa sebab ini kejohanan luar negara yang pertama, banyak lagi untuk saya sertai dan saya yakin boleh dapat catatan masa lebih bagus," kata Khairul Hafiz yang diberi julukan The Speedy Jantan.


Atlet kelahiran Melaka itu, optimis kuartert yang akan dibina bagi acara 4x100 temasya dwitahunan di Kemboja itu, mampu sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan yang pernah dilakukan skuad kebangsaan pada Sukan SEA, Hanoi tahun lalu.


"Bagi saya tak mustahil untuk pecah rekod.. sebab saya tak jangka boleh lari 10.3, Muhammad Haiqal 10.41s dan Muhammad Zulfiqar 10.48s boleh dapat catatan masa bagus," katanya.

Sebagai rekod, pada Sukan Sea Hanoi 2021, kuartert 4x100 lelaki negara berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara itu sekali gus berjaya meraih pingat perak.


Gandingan itu dibarisi Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang menerima gelaran 'Usain Bolt' Malaysia, Muhammad Arsyad Md Saat, Muhammad Zulfiqar Ismail dan juara bertahan acara 100m lelaki Muhammad Haiqal Hanafi, berjaya menamatkan larian dalam masa 39.09s sekali gus memperbaiki rekod 39.27s yang dibuat pada Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

Comments


bottom of page