top of page
  • newsatmy

Skuad Prihatin BERSATU teruskan misi bantu mangsa banjir


BESUT 28 Dis – Lebih 100 keluarga di Kampung Bharu, DUN Kuala Besut yang terkesan akibat banjir baru-baru ini, menerima agihan bantuan keperluan harian yang disampaikan Skuad Prihatin BERSATU, pada Selasa.


Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu, Senator Razali Idris berkata bantuan yang diberikan itu selaras dengan arahan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu Skuad Prihatin BERSATU turun padang memberi khidmat dan sumbangan kepada mangsa banjir yang terlibat.


Razali, yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU berkata selain Besut, jelajah bantuan kepada mangsa banjir turut melibatkan kawasan Parlimen di Hulu Terengganu dan Setiu.


“Merujuk kepada arahan dari Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu melalui Skuad Prihatin BERSATU Terengganu telah turun ke padang memberi khidmat dan sumbangan kepada mangsa banjir di Parlimen Hulu Terengganu, Setiu dan Besut.


“Untuk Parlimen Hulu Terengganu dan Setiu, Skuad Prihatin BERSATU Terengganu telah menghantar segala barangan dan keperluan ke Pejabat BERSATU Bahagian. Agihan akan diuruskan oleh Bahagian masing masing kepada mangsa banjir.


“Bantuan ini sedikit sebanyak membantu mereka meringankan beban selepas banjir,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui mengagihkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di sini, hari ini.


Terdahulu, Skuad Prihatin BERSATU berkumpul di Pejabat BERSATU Bahagian Marang sebelum bertolak ke Parlimen Hulu Terengganu, Setiu dan Besut.


Hadir sama, Penyelaras Skuad Prihatin BERSATU yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Mohd Rafiq Mohd Abdullah.

bottom of page