top of page
  • newsatmy

Solidariti untuk Gaza

20 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Krisis melanda rakyat Palestin berdepan jenayah didalangi Israel yang semakin meruncing di Baitulmaqdis dan Gaza, mendapat perhatian ramai artis tempatan yang menggunakan pengaruh masing-masing melaungkan suara kedamaian, sejak konflik bertambah buruk, minggu lalu.


Barisan artis popular termasuk mereka yang terbabit secara langsung dalam misi kemanusiaan dan bantuan kepada penduduk Palestin, tidak putus-putus menunjukkan penyatuan solidariti demi rakyat Palestin tertindas. Pernah menjejakkan kaki di bumi Gaza, Heliza Helmi menyifatkan Gaza sebagai penjara terbesar dunia.


"Penduduk Gaza terkepung. Mereka tidak boleh keluar dan masuk sesuka hati. Saya bersyukur diberi rezeki oleh Allah untuk ke bumi Gaza pada 2012, 2013 dan 2019.


"Pada 2012, berlaku peperangan yang sangat dahsyat. Itu kali pertama saya melihat bumi Gaza. Secara jujur, saya tidak dapat menahan sebak dan menangis ketika disambut penduduk Gaza.


"Namun, rakyat Palestin memeluk dan beritahu, usah sedih, Allah bersama kita. Daripada situ, saya nampak mereka mempunyai semangat juang yang sangat tinggi. Kita boleh lihat sekarang, berapa banyak kali dibedil, mereka tetap bangkit," katanya kepada BH Online.


Heliza berkata, kanak-kanak di Gaza biarpun kehilangan ibu dan bapa, tidak meminta sedekah.


"Sebaliknya mereka menjual biskut kepada kami. Apabila kami mahu menghulurkan sedikit wang, mereka tidak terima kerana akhlak mereka sangat hebat," katanya.


Heliza berkata, kembali ke Palestin pada 2019, keadaan di negara itu masih sama.


"Catuan elektrik antara enam hingga lapan jam sehari masih dilakukan. Apabila pembangunan baru hendak naik, peperangan berlaku lagi dan menghancurkan semua. Apa yang berlaku di sana memang dahsyat," katanya.


Heliza berkata, apa yang berlaku sebenarnya adalah isu kemanusiaan.


"Bayangkan rumah kita didatangi dan dicerobohi orang yang tidak dikenali, lalu kita dihalaunya. Bukan saja itu, kita dicederakan dan dibunuh sesuka hati. Jadi apa perasaan kita apabila di tempat mereka?


"Disebabkan itu, tidak kira bangsa dan agama, ini adalah isu kemanusiaan. Apa yang berlaku ini terlalu dahsyat. Banyak sekali yang kita perlu bantu untuk baik pulih semula dengan kos yang tinggi," katanya.


Heliza berkata, mereka yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergabung membentuk My Aqsa Defenders yang dianggotai lebih 15 badan.


Selain itu, penyanyi, Faizal Tahir dan Naim Daniel berkongsi kekesalan terhadap serangan rejim Zionis Israel yang menyebabkan ramai orang awam terbunuh.


Malah, Faizal dan Naim menukar gambar profil Instagram (IG) dengan bendera Palestin bagi menyatakan solidariti terhadap rakyat teraniaya itu.


Faizal juga bekerjasama dengan kumpulan Mirwana mengadakan persembahan virtual bagi mengutip dana untuk My Aqsa Defenders.


"Selepas berfikir panjang saya membuat keputusan memendekkan cuti demi saudara kita di Palestin. Saya tidak boleh mengangkat senjata membantu mereka. Hendak lawan di alam siber pun tidak pandai. Jadi, saya buat apa yang saya mahir," katanya yang bakal mementaskan showcase itu pada 30 Mei depan pada harga tiket serendah RM49.


Pelakon Ben Ali berkata, sejumlah RM40,000 daripada hasil jualan produk Absolut Chocolat di Malaysia dan Singapura.


"Saya dan isteri juga memberi sumbangan peribadi sebanyak RM12,000. Isteri sangat terkesan dengan apa yang menimpa rakyat Palestin.


"Hampir setiap hari dia menangis apatah lagi melihat kanak-kanak menjadi mangsa," katanya.


Sementara itu, di pentas antarabangsa, model terkenal, Bella Hadid yang berketurunan Palestin, turut memperjuangkan nasib penduduk Gaza.


Bella atau nama penuh, Isabella Khair Hadid, 26, menunjukkan sokongan padunya kepada Palestin apabila menyertai protes terhadap konflik Israel Palestin, hujung minggu lalu.


Pada laman IG, Hadid memuat naik foto dan video dirakam pada acara perhimpunan di New York, Amerika Syarikat (AS)) itu.


"Ini adalah perjuangan untuk Palestin sehingga Palestin bebas. Saya sayangkan keluarga, keturunan saya dan Palestin. Saya akan terus berdiri dan menyokong mereka untuk mendapatkan kebebasan.


"Saya berdoa untuk dunia yang lebih baik untuk orang saya dan sekeliling mereka," katanya yang juga anak kepada mogul hartanah keturunan Palestin, Mohamed Hadid.


Antara artis yang menunjukkan soladiriti kepada rakyat Palestin adalah Sweet Qismina, Aishah Azman, Sarah Suhairi, Faezah Elai, Shiha Zikir, Lisa Surihani, Caprice, Syamel dan ramai lagi.


Mizz Nina dan suami, Noh Salleh memuat naik pelbagai entri foto dan video di IG memaparkan ketegangan di Gaza.


-Berita Harian

Comments


bottom of page