top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Speaker Dewan Rakyat nafi maklumkan kepada Muhyiddin Kerajaan sudah tiada majoriti

11 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun hari ini menafikan beliau telah memaklum kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Kerajaan sudah hilang majoriti.


Dalam satu kenyataan hari ini, Azhar berkata, laporan sebuah portal yang mengatakan beliau berbuat demikian adalah tidak benar dan palsu.


“Saya merujuk kepada berita portal Suara.TV pada hari ini bertajuk – ‘Perdana Menteri Terima Surat Speaker Maklum Tiada Majoriti Mahu Bubar Parlimen’ – yang melaporkan saya sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri sudah tiada majoriti.


“Saya menafikan laporan berita tersebut dan ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah keluarkan apa-apa surat kepada Perdana Menteri seperti yang dilaporkan. Berita tersebut adalah berita palsu,” katanya lagi.


Dalam pada itu, portal berkenaan memaklumkan pihak editorialnya tidak pernah mengeluarkan artikel demikian, yang telah tular di aplikasi WhatsApp dan media sosial lain.



Dalam satu kenyataan susulan, Suara TV memaklumkan – “artikel yang tular menggunakan logo Suara.TV adalah palsu dan berniat jahat”.



--AWANI

Comments


bottom of page