top of page
  • newsatmy

Srikandi BERSATU kenal pasti calon, termasuk Srikandi Muda


MASJID TANAH, 21 Ogos – Srikandi BERSATU dalam peringkat mengenal pasti calon, termasuk kemungkinan mengetengahkan calon dari Srikandi Muda bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).


Naib Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata sayap wanita BERSATU itu sedang mengenal pasti calon Srikandi berusia 35 tahun ke atas dan tidak menolak kemungkinan Srikandi Muda, iaitu sayap Srikandi yang berusia antara 18 hingga 35 tahun, turut diberikan peluang menjadi calon.


Setakat ini, katanya, proses mengenal pasti calon terbabit masih berjalan sebelum dikemukakan kepada pucuk kepemimpinan BERSATU, tidak lama lagi.

“Kita sedang mengenal pasti calon yang boleh diketengahkan bagi calon Srikandi yang berusia 35 tahun ke atas manakala Srikandi Muda berusia antara 18 hingga 35 tahun.

“Pemimpin kita sudah umumkan Srikandi Muda dipimpin oleh Nurul Fadzilah Kamaluddin sebagai Ketua dan Suhainna Jamri sebagai Naib Ketua.

“Bagaimanapun, Srikandi menyerahkan kepada pucuk kepemimpinan BERSATU untuk membuat keputusan calon yang benar-benar diyakini menang pada PRU-15,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Satu Hati, Satu Keluarga, iaitu Hari Keluarga BERSATU Bahagian Masjid Tanah di pantai peranginan Tanjung Bidara, pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub dan ADUN Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof.


Mas Ermieyati yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Melaka dan Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, usaha mengenal pasti lebih ramai calon Srikandi sejajar hasrat Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Mohd Harun untuk meningkatkan jumlah calon wanita pada PRU-15.

bottom of page