• Arissa

Stadium Nasional Bukit Jalil sedia jadi PPV berskala besar

19 Jun 2021

Stadium Nasional Bukit Jalil kini bersiap sedia untuk menjadi sebuah lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala besar bagi membolehkan lebih ramai rakyat mendapat dos vaksin khususnya di sekitar Lembah Klang.


Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberitahu, seluruh trek balapan stadium telah bertukar wajah menjadi ruang untuk urusan vaksinasi.


“PPV mega ini dijangka akan dapat mencapai kapasiti berjumlah 10 ribu sehari dan tumpuan akan diberikan kepada rakyat yang berusia 40 tahun ke bawah. Ini merupakan sebahagian daripada usaha bersama KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan melalui penggunaan fasiliti secara optimum,” jelasnya dalam satu kenyataan.


Tambah Reezal, Stadium Tertutup Axiata Arena telah pun digunakan sebagai PPV bermula 7 Jun 2021 lalu bagi tujuan yang sama.


Dalam pada itu Reezal memberitahu, fasiliti PPV mega ini dijangka dapat beroperasi mulai 21 Jun 2021.


“Terima kasih kepada petugas yang bertungkus-lumus menyiapkan fasiliti ini. Saya dapat lihat kesungguhan daripada para frontliners perubatan dan bukan perubatan bagi memastikan keselesaan rakyat yang akan berkunjung untuk mendapatkan dos vaksin.


“Pastinya juga, sukarelawan MYVAC di bawah kelolaan KBS akan memberi khidmat di sini. Pada peringkat awal, seramai 60 orang akan ditempatkan dan akan ditambah mengikut keperluan.


“Insya Allah, dengan ikhtiar ini kita akan dapat meningkatkan kadar vaksinasi di kalangan rakyat dengan lebih cepat lagi.


“Saya menyeru kepada rakan-rakan netizen agar segera mendaftar dan sentiasa menyemak aplikasi MySejahtera anda. Lindungi Diri. Lindungi Semua,” ujarnya yang turut meninjau persiapan PPV hari ini.



--PN Online