top of page
  • Writer's pictureNizam

Status 4 ahli parlimen GRS akan ditentukan dalam masa 21 hari-Johari


Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berkata dia akan membuat keputusan mengenai kekosongan empat ahli parlimen dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam tempoh 21 hari.


Johari juga mengesahkan dia sudah menerima surat rasmi daripada Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee pada 27 Dis lalu bagi meminta Dewan Rakyat memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa empat kerusi Parlimen itu akan dikosongkan.


Johari berkata dia perlu meneliti perkara itu dan berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin.


Johari pada masa sama menegaskan, selepas menerima surat secara rasmi daripada Ronald, menurut undang-undang dia mempunyai masa selama 21 hari untuk membuat keputusan.


GRS pada asalnya berikrar taat setia kepada Muhyiddin Yassin selaku pemimpin PN untuk dilantik sebagai perdana menteri namun sokongan itu berubah selepas Anwar Ibrahim dilantik menjadi perdana menteri.


Pada 10 Dis, sekumpulan 15 Adun GRS dan empat ahli parlimen mengisytiharkan bahawa mereka "keluar" dari Bersatu. Mereka ialah Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akhbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).




PN mendakwa empat ahli parlimen terbabit perlu mengosongkan kerusi masing-masing selaras dengan pelaksanaan undang-undang antilompat pari yang termaktub dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.


bottom of page