top of page
  • newsatmy

Suad B-23 tewaskan Laos

26 Oktober-PETALING JAYA

Percaturan memasukkan pemain lebih segar jelas membantu mengubah nasib skuad Bawah 22 tahun (B-22) kebangsaan selepas mereka buntu untuk memecah keampuhan benteng Laos pada aksi kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia.

Laos jelas membuktikan mereka sememangnya pasukan yang liat untuk ditundukkan khususnya apabila berjaya membuatkan kesebelasan utama Malaysia bagai mati akal dalam misi mendapatkan gol.


Pemain gantian, Quentin Cheng mencipta hantaran gol selepas dua minit dimasukkan apabila hantaran lintangnya disudahkan Azfar Fikri untuk gol kemenangan negara pada minit ke-68. Situasi itu jelas melegakan pengendalinya, Brad Maloney apabila kepercayaan yang diberikan kepada pemain gantian dibalas dengan persembahan positif sehingga membantu skuad negara meraih kemenangan pada aksi pertama Kumpulan J itu.

"Seperti yang dijangka, ia adalah perlawanan yang sukar dan sangat kompetitif. Laos sememangnya satu pasukan yang begitu sukar untuk ditangani. Kita juga seharusnya menyudahkan beberapa peluang. "Kita kekal dengan perancangan kita di mana corak permainan kita pun tidak banyak berubah. Cuma kita melakukan pertukaran dan sumbangan yang diberikan (pemain gantian) sangat bagus. "Bantuan gol itu datang daripada salah seorang pemain gantian dan ia satu perkara yang baik apabila apa yang cuba kita lakukan dapat membuahkan hasil," katanya dari Mongolia selepas perlawanan itu. Terdahulu, 'ubi muda' negara menunaikan janji untuk memberikan berita gembira kepada penyokong Malaysia apabila menang 1-0 ke atas Laos pada pusingan kelayakan yang berlangsung di Stadium MFF, Ulaanbaatar.

Namun, mereka dipaksa berpeluh selepas corak permainan keras dan disiplin bertahan yang baik berjaya ditunjukkan Laos untuk menyekat kemaraan Malaysia sebelum jaringan kemenangan tercetus pada minit ke-68. Kemenangan tipis itu sudah cukup untuk skuad negara memimpin Kumpulan J dengan tiga mata selepas aksi pertama antara Thailand dan Mongolia berakhir dengan keputusan 1-1.


bottom of page