• zaman

Sukan Para ASEAN:Sasaran 16 emas di Solo tercapai


SOLO 4 Ogos: Kontinjen negara berjaya mencapai misi membawa pulang sekurang-kurangnya 16 pingat emas dari Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di sini, pada hari keempat temasya.


Dengan kehadiran lima butir emas, satu perak dan satu gangsa pada Rabu, kontinjen Malaysia sudah pun melepasi sasaran dengan kutipan 18 emas, 11 perak dan dua gangsa setakat ini.


Kem renang meneruskan rentak cemerlang apabila terus menjadi penyumbang emas terbanyak, dengan menghadiahkan empat pingat emas dalam kesemua empat acara yang disertai Rabu.

Kilauan emas pertama di Pusat Renang Jatidiri, Semarang hadir menerusi Ethan Khoo Yin Jun yang mengungguli acara 100 meter (m) gaya bebas lelaki S14 (masalah intelektual), dengan mencatatkan rekod temasya baharu.


Ethan kemudian meneruskan renangan cemerlangnya merangkul emas acara 200m rampaian individu lelaki SM14 dengan satu lagi rekod kejohanan baharu, manakala Mohd Adib Iqbal Abdullah menyambar perak acara sama.


Emas yang ditunggu-tunggu, iaitu emas yang ke-16 akhirnya hadir menerusi Fraidden Dawan yang muncul juara acara 100m kuak kupu-kupu S10 (cacat anggota), manakala Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan pula memenangi emas acara 100m kuak kupu-kupu lelaki S14, dengan rekod baharu kejohanan.


Satu-satunya pingat dari sukan olahraga pada Rabu, disumbangkan oleh Muhamad Ashraf Mohamad Haisham, yang mempertahankan kejuaraan acara 1,500m lelaki T46 (kecacatan anggota) di Stadium Manahan.


Tidak lupa juga gandingan Nurfaizal Hamzah-S. Suresh, yang berjaya memanah gangsa acara recurve berpasukan lelaki, walaupun baru kali pertama beraksi bersama-sama.


Tumpuan kontinjen Malaysia pada hari kelima Khamis, masih berada pada sukan renang yang dijangka mengungguli sekurang-kurangnya dua daripada lima acara yang disertai.


Muhamad Ashraf, yang juga merupakan pemegang rekod temasya bagi acara 800m lelaki T46 yang dicatatkan di APG 2015 Singapura, dijangka melengkapkan emas hatrik acara itu, selepas turut menjuarainya pada edisi 2017 Kuala Lumpur.


Lapang memanah di Stadium Kota Barat pula, diharapkan membawa tuah kepada G. Daneshen untuk meraih pingat sulung APG, apabila turun menentang Sakon Inkaew dari Thailand pada acara penentuan pingat emas compound individu lelaki.


Tumpuan juga diletakkan pada perlawanan badminton perseorangan lelaki SU5 di antara dua finalis Paralimpik Tokyo 2020 - Cheah Liek Hou menentang musuh tradisinya Dheva Anrimusthi dari Indonesia - yang merupakan antara lapan aksi separuh akhir melibatkan kem negara.

-- BERNAMA