top of page
  • Farah

Sukma MSN: Tiga kes positif doping babitkan atlet angkat berat - Adamas


KUALA TERENGGANU,20 Sept: PENGARAH Agensi Anti-doping Malaysia (Adamas), Azura Abidin, mengesahkan terdapat tiga kes positif doping membabitkan atlet angkat berat dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Majlis Sukan Negara (MSN).


Menurutnya, ujian antidoping itu dilakukan di luar pertandingan terhadap atlet-atlet sebelum bertanding dalam temasya itu.


Adamas ebelum ini lantang berkempen mengenai 'Dasar Toleransi Sifar" sebagai polisi menentang penggunaan bahan terlarang dalam sukan, khususnya angkat berat, tetapi masih ada kes positif membabitkan sukan berkenaan.

Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan badan itu, seramai tiga atlet muda didapati menggunakan bahan terlarang, iaitu Metandienone, Tebutaline dan Oxymetholone.


Menurut laporan Nadi Arena, ketiga-tiga atlet berkenaan sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan diberikan tempoh 14 hari untuk memberikan maklum balas atau memilih untuk melakukan ujian sampel B.


"Sebenarnya, sebelum kejohanan angkat berat bersempena Sukma ini diadakan, kami telah diminta untuk melakukan satu ujian saringan luar kejohanan bagi atlet angkat berat dari setiap negeri," kata Azura kepada wartawan Nadi Arena, Karl Nunis.


"Selepas kami membuat saringan itu, kami telah mendapat keputusannya dan ada tiga kes (positif).

"Satu kes melibatkan atlet Perlis dan dua kes melibatkan atlet dari Terengganu.

"Ketiga-tiganya adalah atlet lelaki dan ada seorang berusia 16 tahun dan dua orang berusia 23 tahun.


"Memang agak kecewa juga kerana di samping program-program pendidikan yang telah kami lakukan - bukan hanya buat atlet angkat berat tetapi buat kesemua atlet yang terlibat dalam Sukma kali ini - di dalam peraturan antidoping dunia, prinsip kebertanggungjawaban penuh terhadap apa juga bahan-bahan yang diambil atau kaedah-kaedah yang digunakan adalah tertakluk di bawah diri sendiri.


"Tidak kira ia didapati daripada jurulatih atau orang luar, dibeli secara atas talian dan sebagainya, atlet tetap bertanggungjawab sepenuhnya atas segala yang mereka lakukan," katanya.-Astro Awani


bottom of page