top of page
  • newsatmy

Sumbangan kepada FAM buka jalan kepada sukan berprestasi tinggi lain - Ramlan

19 Januari 2022

SUMBANGAN kerajaan sebanyak RM10 juta kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilihat bakal membuka ruang dan peluang kepada sukan berprestasi tinggi lain untuk menerima peruntukan yang sewajarnya pada masa hadapan.


Malah, bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ramlan Abdul Aziz percaya pihak kerajaan sentiasa mengambil berat ‘keupayaan’ mana-mana persatuan sukan kebangsaan selain badan induk bola sepak negara itu.


“Pertama sekali, tahniah kita ucapkan kepada FAM dan juga sukan bola sepak negara kerana menerima peruntukan (sumbangan) RM10 juta daripada pihak kerajaan.

“Ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam mengangkat prestij sukan di Malaysia. Pada saat negara masih dilanda krisis COVID-19, kerajaan tetap tampil membantu.


“Bagi saya, ini satu petanda yang baik yang mana besar kemungkinan pihak kerajaan akan membantu persatuan sukan kebangsaan lain yang terkesan akibat COVID-19,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.


Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan memberi sumbangan RM10 juta kepada FAM bagi pembangunan bola sepak negara.


Mengulas lanjut, Ramlan berkata, FAM harus menggunakan sebaik mungkin dana sumbangan itu demi mengangkat imej skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.


“Tak kira FAM atau persatuan sukan mana sekalipun, apabila menerima peruntukan daripada kerajaan, mereka harus memiliki tanggungjawab untuk memastikan peruntukan itu dapat memberikan pulangan berbaloi.


“Jadi dengan peruntukan yang disalurkan itu, mana-mana sukan harus memastikan sasaran, matlamat serta objektif yang telah ditetapkan lebih awal dapat direalisasikan,” ujarnya.

Comments


bottom of page