top of page
  • Writer's pictureNihaba

Suntikan RM500 ke dalam akaun pencarum hanya indah khabar daripada rupa-Muhyiddin


KUALA LUMPUR 6 Mac:Kerajaan campuran dikritik kerana tidak mendengar keluhan suara rakyat berhubung isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).


Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata rakyat tidak meminta suntikan RM500 ke dalam akaun KWSP seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2023 lalu, sebaliknya rakyat mahu kerajaan meluluskan pengeluaran secara bersasar.


“Sebenarnya Tuan Yang Dipertua, pencarum tidak mohon suntikan RM1 bilion, mereka hanya mohon untuk KWSP mereka dibenarkan untuk dikeluarkan secara bersasar.


“Kalau itu diluluskan, kerajaan boleh menyelamatkan 1 bilion dan boleh diberikan kepada kawasan-kawasan yang menghadapi banjir yang teruk hari ini untuk digunakan menyelamatkan para mangsa-mangsa (banjir) yang ada hari ini,” katanya semasa perbahasan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini.


Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata suntikan RM500 ke dalam akaun pencarum hanya indah khabar daripada rupa, walhal hakikatnya ia hanya memberi manfaat kepada segelintir pencarum berusia 40 hingga 54 tahun yang mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.

“Tidak perlulah saya bercakap panjang mengenai perkara ini memandangkan YB Ayer Hitam ketika membahaskan ucapan Belanjawan 2023 telah pun mengulas panjang lebar tentang pemberian ini yang ternyata indah khabar daripada rupa.


“Hakikatnya, bantuan KWSP yang diumumkan oleh YAB Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim) hanya untuk segelintir pencarum iaitu kumpulan umur 40 hingga 54 tahun sahaja, sedangkan hampir 53 peratus penyumbang caruman yang aktif tidak mendapat manfaat daripada pemberian ini. Golongan pencarum yang berumur di bawah usia 40 tahun pula dinafikan hak mereka untuk mendapat bantuan yang sama,” katanya lagi.


Sebelum ini, Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mempersoalkan langkah kerajaan menyuntik RM500 kepada hampir dua juta ahli yang berusia 40 tahun hingga 54 tahun dan mempunyai simpanan kurang RM10,000.


Wee berkata, ini kerana pencarum KWSP yang berumur antara 41 hingga 55 tahun mempunyai simpanan paling tinggi merangkumi 53.4 peratus dan dalan kalangan ahli aktif.

Menurut beliau, berdasarkan laporan tahunan yang dikeluarkan pada 31 Disember 2021, menunjukkan purata caruman golongan berkenaan dalam KWSP sebanyak RM197,590.


Sehubungan itu, beliau tertanya-tanya siapakah yang akan menerima caruman tambahan RM500 seperti yang diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2023, baru-baru ini.


“Maksud saya peruntukan RM1 bilion itu hendak di bahagi kepada siapa? Kalau ada ahli aktif yang miskin kita patut bantu. Bagaimana pula kalau tidak aktif? Mungkin dia bekerja pada usia 18 hingga 32 tahun, caruman KWSP tidak sampai RM9,000 kalau umur 40 tahun tidak mencarum, tidak aktif. Takkanlah kita nak bantu (pencarum) yang tidak aktif?

“Saya tahu Perdana Menteri ambil data daripada KWSP. Saya tidak pernah meragui data KWSP dan Bank Negara Malaysia (BNM) tapi tiga hari saya pening kepala nak yakinkan bahawa RM1 bilion akan diberikan kepada dua juta pencarum,” katanya semasa perbahasan sebelum ini.


Tegas Muhyiddin lagi, kerajaan nampaknya tidak mempedulikan suara rakyat dalam isu pengeluaran KWSP yang sudah dihimpit bebanan kos sara hidup.

“Permintaan rata-rata pencarum untuk mengeluarkan simpanan KWSP juga tidak dipedulikan. Jelas kerajaan hari ini tidak mendengar denyut nadi rakyat yang sedang dihimpit oleh bebanan kos sara hidup yang tinggi.

“Benar KWSP adalah untuk simpanan hari tua, tetapi apa guna bercakap tentang hari tua, jika hari ini pun rakyat tidak mempunyai wang untuk keperluan harian,” ujarnya lagi.

Comments


bottom of page