• Arissa

Surat lucut keahlian Hishammuddin palsu dan berniat jahat - Setiausaha Kerja UMNO

12 Jun 2021

KUALA LUMPUR: UMNO menafikan surat berhubung pelucutan keahlian Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang tular di media sosial pada Jumaat.


Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Mohd Sumali Reduan dalam satu kenyataan mengesahkan surat terbabit sebagai palsu.


“Saya sahkan tiada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO diadakan hari ini apatah lagi pelucutan keahlian.


"Ini semua palsu dan fitnah jahat,” katanya sebagai dipetik UMNO Online hari ini.


Surat berkenaan yang tersebar sejak petang Jumaat mendakwa Ketua UMNO Bahagian Sembrong itu telah dilucutkan keahlian UMNO serta-merta.


Nama Menteri Luar itu turut tular sejak beberapa hari lalu dikaitkan dengan pelbagai gerakan politik susulan pertemuan Ketua-ketua Parti Politik dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara sejak Rabu lalu.



--Awani