• newsatmy

Survival paling penting buat masa ini - Bront Palarae

Madiha Abdullah

Januari 17, 2021 16:22 MYT



Biarpun baru sahaja memenangi trofi berprestij, Bront bersikap realistik dan tidak mahu membuat jangkaan besar dalam kerjayanya.



Pemenang trofi Pelakon Lelaki Terbaik - Digital di Anugerah Televisyen Asia ke 25, Bront Palarae, menyifatkan survival sebagai fokus utama dirinya ketika ini.


Biarpun baru sahaja memenangi anugerah berprestij itu, Bront bersikap realistik dan tidak mahu membuat jangkaan besar dalam kerjayanya, terutama ketika negara dan seluruh dunia masih bertarung melawan pandemik COVID-19.


"Buat masa sekarang, saya sudah cukup bersyukur jika segala perancangan yang dirancang beberapa tahun lepas dapat dihasilkan tahun ini atau tahun depan.


"Tak ada sebarang expectation kerana dalam situasi sekarang, survival adalah perkara paling penting," katanya ketika ditemubual dalam Buletin AWANI.


Berpendapat industri hiburan tidak termasuk dalam kategori sektor berkepentingan buat masa ini, Bront bagaimanapun berharap industri dapat terus menyumbang terutama dalam aspek meredakan ketegangan dan tekanan, kesan daripada pandemik yang melanda.


Seperti juga rakyat Malaysia yang lain, aktor Ola Bola dan Terbaik Dari Langit itu juga berkongsi kebimbangan dengan situasi yang tidak menentu ketika ini dan berharap kestabilan dapat segera dipulihkan.


"Kita risaukan banyak perkara, ekonomi dan pendidikan terutamanya. Ini kegusaran yang real, bukan dibuat-buat.


"Saya serahkan kepada pemimpin-pemimpin negara untuk memikirkan bagaimana untuk membantu rakyat dan meneruskan kelangsungan hidup kita semua," ujarnya.


Dalam Anugerah Televisyen Asia ke 25 yang berlangsung secara maya pada Sabtu, Bront dinobatkan pemenang kategori Pelakon Lelaki Terbaik - Digital menerusi lakonannya dalam siri The Bridge, yang disiarkan di sebuah laman penstriman.

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.