top of page
admin

Syarikat import telur dilantik secara runding terus


KUALA LUMPUR 8 Mac: Pada 5 Disember lalu, beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion ditangguh dengan alasan membabitkan kelulusan secara rundingan terus oleh kerajaan sebelum ini. Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerja-kerja projek tebatan banjir ditangguhkan sebelum ini kerana tidak mahu berlaku ketirisan dalam peruntukan.


Sedangkan bagi kerajaan sebelum ini, projek tersebut perlu disegerakan memandangkan kejadian banjir semakin menjadi-jadi sekarang berikutan fenomena perubahan iklim. Terbaharu banjir luar jangka melanda Johor.


Bagaimanapun hari ini, Dewan Rakyat diberitahu kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) tetap melaksanakan rundingan terus dengan melantik sebuah syarikat mengimport telur dari India bagi mengatasi kekurangan telur di pasaran.


Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, akhirnya mendedahkan perkara itu selepas diasak Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) dan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugur) tidak dapat berselindung lagi.


Katanya, import telur dari India dianggap dalam keadaan terdesak bagi mengatasi kekurangan di pasaran sekarang.

“Sekiranya keadaan di pasaran sudah pulih, kita bersedia untuk mengimport dari negara-negara lain, termasuk dari Turki. Permit import itu diberi kepada syarikat terbabit hanya untuk tempoh jangka pendek.

“Kalau syarikat terbabit tidak ikut peraturan, kerajaan boleh hentikan pada bila-bila masa,” katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2023 peringkat kementerian di Dewan Rakyat, hari ini.


Selepas didesak Wan Saiful, akhirnya menteri menyebut nama syarikat yang diberi import telur, iaitu JNA.


Mengulas isu serupa, Datuk Dr Wee Ka Siong (BN-Air Hitam) ketika bangun mencelah berkata, sepatutnya kerajaan mengupayakan penternak tempatan dan bukannya berterusan mahu mengimport telur dari luar negara.


Katanya, mengimport telur dari luar tidak menyelesaikan masalah pada jangka panjang kerana ia melibatkan kos yang tinggi.

Comments


bottom of page