top of page
  • newsatmy

Syawal tanpa suami, keluarga

20 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Lima tahun melayari bahtera rumah tangga, pasangan pelakon, Ezzaty Abdullah, 31, dan Azwan Kombos, 36, buat kali pertama terpaksa meraikan Syawal berjauhan, tahun ini.


Ini berikutan Azwan terikat dengan tuntutan penggambaran di Sabah sehingga Syawal.

Biarpun sedih tidak dapat mencium tangan suami pada pagi raya, namun Ezzaty bersyukur suaminya dapat bertemu dengan ibunya di Sabah selepas lebih setahun tidak menjenguk orang tua akibat pandemik COVID-19.


"Lazimnya, kami sekeluarga akan pulang menyambut Syawal di Sabah terlebih dahulu, setiap tahun. Pada raya ketiga barulah pulang semula ke Kuala Lumpur, sebelum sambung beraya di sebelah keluarga saya di Bentong, Pahang.


"Bagaimanapun, kami tidak dapat pulang ke Sabah, sejak tahun lalu. Hampir setahun suami tidak bertemu dengan ibu dan keluarganya.


"Saya tidak menghalang apabila suami mendapat tawaran berlakon di Sabah. Malah, saya gembira sekurang-kurangnya suami melepaskan kerinduan kepada ibunya," kata Ezzaty yang meraikan Aidilfitri bersama anak tunggal, Harum Dalia yang kini berusia 4 tahun.


Meskipun menyambut raya berdua, pelakon drama The Maid itu tetap membuat persiapan bagi memberi peluang kepada anaknya merasai keseronokan menyambut Aidilfitri.


Bagaimanapun, katanya, persiapannya tidak beriya-iya memandangkan hanya menyambutnya berdua.


"Saya hanya makan nasi impit, jadi hanya itu disediakan pada pagi raya. Saya memang tidak membeli kuih raya kerana menerima banyak hamper dan kuih raya.


"Secara kebetulan, saya tidak menggemari makanan manis, jadi saya tidak mahu membazir, sebaliknya hanya menjamah apa yang ada sahaja.


"Persiapan baju raya pun hanya ala-kadar. Walaupun tidak dapat pulang ke kampung halaman, apatah lagi, suami tiada di sisi, tetapi saya tetap menyediakan persalinan raya kerana saya mahu Harum seronok menyambut raya seperti yang saya pernah rasakan sewaktu kecil. Saya juga beri peluang Harum bermain bunga api supaya dapat merasai mood raya," katanya kepada BH Online.


Ezzaty yang menjalani tempoh kuarantin kerana mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19 berkata, dia tidak kisah kerajaan tidak membenarkan rakyat pulang ke kampung berhari raya.


Katanya, walaupun rindu kepada orang tuanya dan suasana persiapan raya di kampung, namun sebagai orang yang pernah melalui detik ngeri apabila mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19, keputusan dibuat kerajaan adalah terbaik.


"Saya reda dengan keputusan dibuat kerajaan. Semuanya demi keselamatan ibu bapa di kampung. Saya sendiri takut mahu membenarkan sesiapa datang ke rumah, memandangkan angka jangkitan semakin membimbangkan.


"Lagipun, saya sibuk dengan penggambaran dan berjumpa dengan orang ramai. Saya sendiri tidak tahu tahap kesihatan saya. Sekiranya pulang ke kampung mungkin boleh mendatangkan risiko kepada ahli keluarga lain," katanya.


Berkongsi pengalaman ketika dimaklumkan mempunyai kontak rapat, baru-baru ini, Ezzaty berkata, dia terdiam dan tertekan, apatah lagi berjauhan dengan suami.


Ezzaty berkata, dia mendapat kebenaran pulang ke Bentong mengambil anaknya yang dijaga sementara oleh ibu bapanya memandangkan sibuk dengan penggambaran.


"Sebaik mendapat tahu berita berkenaan daripada pihak produksi, saya bergegas pulang ke kediamannya di Shah Alam secara bersendirian bagi menjalani kuarantin kendiri.


"Masa dapat tahu ada kontak rapat, saya betul-betul 'down'. Saya amat bimbangkan keadaan anak dan ibu bapa kerana saya bersalam dengan mereka dan bermain dengan anak.


"Alhamdulillah, keputusan ujian calitan negatif. Bagaimanapun, saya tetap meneruskan kuarantin selama 10 hari. Saya juga lega Azwan tiada kerana dia menghidap asma. Saya bimbang boleh memudaratkan kesihatan.


"Selepas tiga kali menjalani ujian calitan dan keputusan menunjukkan negatif, barulah saya berani keluar rumah dan menyambung semula penggambaran. Selagi keputusan ketiga tidak diperoleh, saya langsung tidak keluar rumah kerana tidak mahu mendatangkan kemudaratan kepada orang lain," kata Ezzaty.


-Berita Harian

bottom of page