top of page
cik skod

Tahniah Aaron-Wooi Yik muncul juara dunia


KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menzahirkan ucapan tahniah kepada beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas muncul juara dunia pada Kejohanan Badminton Dunia 2022 di Tokyo.


Beliau berkata kejayaan itu dicapai selepas wujud semangat kebersamaan antara mereka.

“Tidak mustahil untuk kita mencapai kejayaan.

“Terima kasih buat barisan jurulatih, para pegawai, BAM dan semua pihak terlibat atas usaha yang dicurahkan selama ini,” katanya di Facebooknya.


Dalam pada itu, Faizal turut mengucapkan syabas juga kepada BAM kerana terus memberi kepercayaan kepada pelapis muda.

“Ini merupakan satu tindakan tepat dalam kita melahirkan bintang bertaraf dunia,” katanya.


Pada aksi final berlangsung di Tokyo Metropolitan Gymnasium itu, Aaron-Wooi Yik menampilkan permainan hebat untuk menoktahkan kemenangan 21-19, 21-14 dalam tempoh 40 minit ke atas bekas juara dunia tiga kali dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.


Kejayaan ke atas pasangan yang diberi julukan ‘The Daddies’ itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik melakar sejarah menjadi pemain badminton Malaysia pertama meraih gelaran juara dunia, yang dilakukan pada penampilan keempat mereka di kejohanan berkenaan.


Dengan kejayaan melangkah ke final semalam, pasangan ranking keenam dunia itu turut muncul beregu Malaysia pertama dalam tempoh 12 tahun mara ke final Kejohanan Badminton Dunia selepas kali terakhir dilakukan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada edisi 2010 di Paris.

Comments


bottom of page