top of page
Writer's pictureArissa Azman

Tak ada istilah ‘pilih bulu’, KJ mohon maaf program Kerajaan tak ikut SOP

13 Disember 2021

Baru-baru ini, tular di laman sosial berkenaan isu pengendalian Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bertempat di KLCC yang dikatakan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Hal ini berikutan program tersebut telah memikat ramai pengunjung untuk hadir dalam satu masa hingga menyebabkan kesesakan di ruang acara itu.


Perkara tersebut sekaligus menjadi isu kerana mengikut SOP yang ditetapkan, orang ramai tidak dibenarkan bersesak di satu tempat.


Sehubungan dengan itu, YB Khairy Jamaluddin selaku Menteri Kesihatan baru-baru ini telah tampil untuk membuat permohonan maaf kepada rakyat Malaysia atas ralat pada program tersebut.


KKM telah mengeluarkan kompaun maksimum sebanyak RM1,000 Jumaat lepas kepada Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) Jabatan Perdana Menteri yang menganjurkan program itu.


Khairy turut menegaskan pelanggaran SOP pada acara sempena meraikan kejayaan kerajaan dalam tempoh 100 hari pentadbiran itu secara tidak langsung menjejaskan kredibiliti mesej dan galakan KKM berkenaan pematuhan SOP.


Beliau bagaimanapun telah memberi jaminan bahawa pihak kerajaan akan memastikan perkara ini tidak lagi berulang. KJ turut meminta supaya rakyat tidak mengikut kesilapan yang sama, sebaliknya terus patuh kepada SOP bagi memastikan pandemik itu dapat dikawal baik.


“Saya sedar rakyat sedang marah disebabkan apa yang telah berlaku pada acara yang sepatutnya meraikan kejayan kerajaan. Namun, kekhilafan telah berlaku dengan beberapa insiden kesesakan yang saya sangat kesali.”


Menteri Kesihatan itu memberi penekanan ini melalui program Bicara Naratif Khas di RTM 1, malam tadi.


"Kita minta maaf kepada rakyat tentang apa yang berlaku, tapi kita kena pandang ke hadapan. Kerajaan juga akan belajar daripada insiden yang berlaku dan kita akan buat lebih baik untuk masa akan datang. Tapi janganlah disebabkan kesilapan kami di pihak kerajaan, rakyat enggan patuh kepada SOP. Kita kena sentiasa sama-sama berjuang menentang pandemik ini,”


Melalui program sama, Khairy turut menegur kaedah SEPADU yang dikatakan gagal mengendalikan tugas yang baik sepanjang menguruskan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia. Salah satu darinya termasuklah penghantaran mesej berkali-kali mengajak pengunjung beramai-ramai memeriahkan program tersebut.


Beliau turut menyarankan kerajaan agar menggunakan badan kementerian atau agensi yang sudah biasa mengendalikan acara besar seumpamanya, seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).



KKM tidak halang penganjuran kerana Kuala Lumpur dalam fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN). Kita benarkan acara, majlis perkahwinan dan seumpamanya. Cuma, kena jaga SOP. Tidak timbul soal kenapa KKM tidak halang kerana ia memang dibenarkan, tapi kegagalan dari segi pelaksanaan”


Apabila disoal berkenaan persepsi pemberian kompaun oleh KKM yang dikatakan pilih kasih, KJ menegaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah menjadi bukti tidak ada istilah dua darjat berlaku dalam menguatkuasakan peraturan dan pemberian kompaun oleh pihak kementerian.


Beliau kemudiannya memberikan contoh-contoh penganjuran program yang dikenakan kompaun, termasuklah program anjuran mantan Perdana Menteri, program dari pihak pembangkang dan presiden partinya sendiri yang turut dikompaun RM10,000. Oleh itu, program anjuran Perdana Menteri di masa ini tidak terkecuali.


Sehubungan dengan itu, beliau memaklumkan ada yang mempertikai tindakan KKM yang berani memberi kompaun kepada program Perdana Menteri, seperti ingin mengapi-apikan keadaan.


Walau bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan kepadanya bahawa KKM dan KJ selaku Menteri Kesihatan perlu mengeluarkan kompaun jika berlaku kesalahan.


Khairy dikatakan lega setelah tindakannya disokong agar tidak timbul isu pilih kasih dalam pemberian kompaun.

留言


bottom of page