top of page
  • newsatmy

Tak kenang budi, kata Zakaria selepas dipecat PBM

BH/28 Dis.

Pemimpin Parti Bangsa Malaysia (PBM) dibidas tidak mengenang budi selepas memecat beberapa individu baru-baru ini, kata Zakaria Abdul Hamid.


Zakaria yang juga bekas Ketua Penerangan PBM antara dipecat baru-baru ini dan menyifatkannya ia satu tindakan ‘tidak kenang budi’ apabila memecat dengan sewenang-wenangnya pemimpin yang tidak sehaluan.


“Ini politik paling kotor yang pernah saya saksikan, contoh politik tiada etika yang menghalalkan cara demi kuasa dan kepentingan peribadi,” katanya dipetik laporan BH.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan identiti pemimpin yang dimaksudkan.


Zakaria adalah antara 13 individu yang digugur dan dipecat daripada PBM.

Turut dikenakan tindakan itu adalah bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad.


Mereka diberi surat tunjuk sebab oleh Jawatankuasa Displin PBM pada 19 Disember lalu.

Pemecatan mereka kerana gagal mengemukakan maklum balas kepada Jawatankuasa Disiplin PBM dalam tempoh tujuh hari.


Selain Zuraida, Nor Hizwan dan Zakaria, PBM turut memecat Naib Presiden 1, Rahimah Majid; Naib Presiden 2, Dr Sathiskumar; Naib Presiden 3, Muhammad Saiful Bahari Sahari dan Ketua Pemuda, Na’im Brundage.


Turut dipecat empat Ahli Majlis Tertinggi PBM, Abd Aziz Ab Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.


Menurut laporan media, meskipun Timbalan Presiden 1, Haniza Mohamed Talha dan Ketua Wanita, Dr Daroyah Alwi dipecat jawatan berkenaan, namun mereka berdua masih kekal sebagai ahli biasa.


Unit Penerangan PBM dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan terhadap 13 individu berkenaan dilakukan selepas Ahli Jawatankuasa Disiplin mengadakan perbincangan lanjut semalam, bersandarkan Perlembagaan parti.


“Mereka diberi peluang menjelaskan dan membela diri dan diberi tempoh tujuh hari, tetapi gagal memberikan maklum balas kepada Jawatankuasa Disiplin PBM.

“Maka dengan ini, demi kepentingan PBM, Jawatankuasa Disiplin membuat keputusan bahawa keahlian, jawatan individu berkenaan ditamatkan berkuat kuasa serta-merta pada 27 Disember 2022,” katanya.

bottom of page