top of page
  • admin

Tak minat hidupkan MN, Pas ucap selamat maju jaya kepada UMNO

28 Mac

PAS mengucapkan selamat maju jaya kepada UMNO yang dilihat tidak lagi berminat mengukuhkan Muafakat Nasional (MN), sebaliknya mahu fokus dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Menurut Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari, penyatuan ummah tak pernah berhenti dan parti itu akan terus memperkukuhkan hubungan dengan rakan dalam Perikatan Nasional (PN).

“Saya nak ucapkan selamat berjaya. Kami akan fokus memperkuatkan PN yang sudah mendapat sokongan besar orang Melayu dan Bumiputera,” katanya selepas melancarkan Tabung Makanan Mahasiswa Nasional, semalam.


Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang berkata, UMNO tidak lagi memikirkan soal MN, sebaliknya fokus bekerjasama dengan kerajaan perpaduan bagi mewujudkan kerajaan stabil.


Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, walaupun UMNO semakin dingin untuk menghidupkan MN, Pas tetap akan meneruskan agenda penyatuan ummah.


“Bagi kita, soal penyatuan ummah ini perlu diteruskan dan dilaksanakan. Momentumnya tidak akan terkesan dengan kenyataan Asyraf itu.


“Semua tahu kecenderungan UMNO sekarang ini dan saya tahu perpaduan ummah tidak lagi menjadi agenda mereka.”


Sementara itu, Ahmad Fadhli berkata, PN akan memuktamadkan jumlah kerusi untuk sayap Pemuda gabungan itu pada PRN enam negeri dalam masa terdekat, dengan mengambil kira sokongan orang muda pada PRU15.


“Dengan kejayaan calon-calon muda dalam PRU lepas, saya fikir pimpinan PN sudah dapat menilai sendiri bagaimana sambutan anak muda, dan pimpinan PN akan buat keputusan terbaik.


“Pembahagian kerusi akan diselesaikan secara dalaman. Apa yang penting, kita cuba untuk menang sebanyak mungkin, tak penting banyak mana bertanding, tapi yang penting sebanyak mana kita menang,” katanya lapor Free Malaysia Today.

bottom of page