top of page
newsatmy

'Tak sedap hati, risau tiada khabar daripada Jit Murad minggu lalu' - Tina Fadzil

14 Februari 2022

KUALA LUMPUR: "Saya tidak sedap hati dan risau tiada khabar daripada arwah sejak minggu lalu," kata teman rapat Allahyarham Jit Murad, Tina Fadzil.


Tina memberitahu, kali terakhir dia berjumpa Allahyarham Jit adalah pada hujung bulan lalu namun Allahyarham tidak menunjukkan sebarang perubahan atau perilaku pelik sebelum pergi selama-lamanya.


"Saya tidak sangka pertemuan hujung bulan lalu dengan arwah merupakan pertemuan terakhir kami. Hati saya tidak sedap dan risau kerana tiada sebarang posting dalam media sosial arwah sejak minggu lalu.


"Saya cuba nak hubungi dia (arwah), tapi not reachable," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Ahad.

Mengimbas detik mendebarkan yang diharungi, Tina memberitahu, dia bersama tiga lagi rakannya ke rumah Jit kira-kira pukul 2 petang semalam selepas gagal menghubunginya.


"Apabila memasuki rumah, saya benar-benar terkejut melihat Jit dalam keadaan tidak beryawa di salah sebuah biliknya," ujarnya sambil menahan sebak.


Tambahnya lagi, dia kemudian menghubungi talian 999 dan salah seorang rakannya pula menghubungi kakak Jit yang tiba beberapa minit kemudian.


Ketika diminta untuk berkongsi momen-momen indah bersama Allahyarham, Tina memberitahu, dia terlalu sedih dan tiada kata-kata buat masa ini.


"Persahabatan kami bermula 15 tahun yang lalu, saya selalu masak dan hantar ke rumahnya. Banyak suka dan duka yang kami lalui bersama, cuma ini bukan masanya untuk saya kongsikan. I miss him so much," katanya.


Menurutnya, jenazah Allahyarham dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi menjalani ujian saringan COVID-19 dan kemudian dilakukan bedah siasat.


Astro AWANI masih berusaha mendapatkan maklumat lanjut mengenai urusan pengebumian Allahyarham.


Jit yang merupakan anak kepada bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Allahyarham Tan Sri Murad Mohamed Noor meninggal dunia pada Sabtu pada usia 62 tahun.

Comments


bottom of page