• newsatmy

Tambahan quota 10,000 untuk jemaah haji Malaysia

10 Mac 2021

RIYADH - Kerajaan Arab Saudi bersetuju memberikan tambahan 10,000 kuota rasmi haji untuk jemaah Malaysia.


Berita baik itu disampaikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas perjumpaan beliau bersama Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman di Istana Yamamah, di sini.


“Kita sudah dapat keputusan baik persetujuan.


"Apabila keadaan (COVID-19) pulih sepenuhnya, kuota haji ditambah 10,000 daripada jumlah sedia ada,” katanya pada sidang media selepas menghadap Putera Mahkota.


Ketika ini, kuota rasmi haji bagi jemaah Malaysia adalah 31,600.


Jumlah tersebut meningkat berbanding kuota 30,200 jemaah pada tahun sebelumnya.


Berdasarkan ketetapan yang dibuat oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), kuota jemaah haji bagi sesebuah negara adalah 0.1 peratus daripada jumlah penduduknya.


“Putera Mahkota juga memaklumkan kota Mekah dan Madinah masih dalam proses pembesaran dan ini boleh menambah jumlah haji dan umrah.


“Saya dimaklumkan Malaysia akan diberi perhatian utama dalam pertambahan jumlah jemaah,” katanya.


Pertemuan 90 minit di antara Perdana Menteri dan Putera Mohammed yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Arab Saudi turut disertai Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.


Ia merupakan kemuncak lawatan rasmi empat hari Muhyiddin ke Arab Saudi dan berlangsung mengikut prosedur operasi standard kesihatan dan keselamatan yang amat ketat.


Pada pertemuan itu, kedua-dua negara turut menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) inisiatif Perkhidmatan Jalan Makkah.


Inisiatif tersebut akan memudahkan proses prapelepasan jemaah Haji dan Umrah Malaysia, seperti urusan penerbangan, semakan visa dan pasport, prosedur kastam dan urusan logistik lain.


MOU ditandatangani Hishammuddin bagi pihak Malaysia dan rakan sejawatannya Putera Faisal Farhan Al-Saud.


Ia disaksikan oleh Muhyiddin dan Putera Mohammed.

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.