• Nihaba

Tanah Rizab Melayu hanya berbaki 12 peratus

1 Disember

KUALA LUMPUR: Penyusutan Tanah Rizab Melayu yang kini hanya tinggal 12 peratus berbanding apa yang ditetapkan Raja-Raja Melayu perlu diberi perhatian serius semua pihak, sedangkan Raja-Raja Melayu sebelum ini mengkehendaki 50 peratus pemilikan tanah rizab Melayu di negara ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir Johor, Najib Lep berkata, usaha ke arah mengukuhkan pengawalan keistimewaan orang Melayu harus dilakukan khususnya bagi menyelesaikan kelemahan tadbir urus tanah rizab Melayu.

Menurutnya, pembangunan tanah rizab Melayu penting dalam usaha mempertingkatkan ekonomi negara.


Kata beliau, antara kelemahan yang perlu dikaji termasuk penyimpanan rekod pembatalan status tanah yang tidak diganti, geran tanah belum disahkan, tanah rizab Melayu yang dibatalkan dan digantikan tidak diwartakan.

Selain itu, penyimpanan dan pengurusan rekod dan maklumat tanah rizab Melayu tidak lengkap dan tidak dikemas kini, serta taraf ekonomi dan kuasa beli masyarakat Melayu sehingga mengakibatkan saiz pemilikan tanah rizab Melayu menjadi kecil.

“Langkah penyelesaian efektif amat penting untuk mengekalkan tanah rizab Melayu di negara ini.

“Mengetengahkan permasalahan dan kelemahan tersebut dengan harapan kerajaan negeri dapat mengkaji lebih mendalam dan mendapat penyelesaian terbaik di masa akan datang,” katanya ketika dihubungi di sini.


Najib turut mencadangkan laksanakan kempen peningkatan kesedaran dan kepentingan semua pihak supaya tanah rizab Melayu dapat diperkukuh dan dikekalkan.

Beliau juga berkata, kerajaan perlu memperketatkan syarat urus niaga dan pemajuan aset tanah rizab Melayu.

“Prof Dr Ismail Omar pernah menulis dalam akhbar pada 19 Mac 2020 mencadangkan kaedah melepaskan nilai terpenjara tanah rizab Melayu melalui instrumen wakaf.

“Ia bukan sekadar pelaburan yang bijak, malah memenuhi ‘maqasid khassah’ serta mampu memberi pulangan kepada pewakif serta pewaris tanah. Ia juga selari tunjang utama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu menjana semula ekonomi pasca pandemik,” jelas beliau.

Sementara itu Najib juga berkata, elaun sebanyak RM300 sebulan secara one-off kepada guru-guru al-Quran di Johor wajar diteruskan memandangkan aktiviti pembelajaran dan pengajaran di masjid-masjid tidak dapat dijalankan secara menyeluruh ekoran pandemik Covid-19.

“Kerajaan Johor seharusnya tidak meminggirkan guru-guru Al-Quran di negeri ini yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” ujarnya