top of page
admin

Tangani segera masalah mahasiswa


Para pelajar di universiti-universiti awam dalam negara dijangka tidak keberatan untuk menamatkan pengajian masing-masing akibat dihimpit dengan kos sara hidup dan krisis kewangan individu yang tidak menentu.


Sebilangan kecil pelajar sudah dikesan meninggalkan pengajian disebabkan tidak mampu untuk menyara diri terutamanya di kawasan-kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Selangor.


Ia akan lebih parah sekiranya masalah ekonomi dan inflasi tidak diatasi dengan baik trend tersebut berkemungkinan besar melibatkan jumlah pelajar yang lebih ramai.


Kaji selidik Jabatan Pe­rangkaan mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu menyambung pelajaran.


Walaupun data tersebut adalah dari tahun 2019 tetapi trend tersebut dipercayai berterusan pada 2020 dan 2021. Mengikut data kajian tahun 2019, membabitkan 560,000 calon SPM yang mengambil peperiksaan namun selepas keputusan , hanya kira-kira 170,000 memilih menyambung pengajian


Manakala pada Julai, Kementerian Pendidkan Tinggi (KPT) mengumumkan lebih 30,000 atau 2.6% daripada lebih 1.1 juta mahasiswa di universiti awam gagal menamatkan pengajian ketika pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021.


Sebagai pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), masalah kewangan adalah salah satu masalah utama yang dihadapi oleh pelajar dalam kehidupan mereka. Sebilangan besar pelajar tidak tahu mengurus perbelanjaan mereka sendiri, terutamanya pelajar tahun satu yang baru memasuki bidang sekolah hingga ke universiti.


Bagi keluarga yang tidak mempunyai latar belakang yang berkemampuan terutamanya pada golongan B40, mungkin ibu bapa hanya mampu membiayai anak-anak ketika masih sekolah, namun apabila memasuki peringkat universiti ada sesetengah keluarga yang tidak mampu membiayainya lagi.


Golongan pelajar secara asalnya di mana tidak mempunyai sumber pendapatan kerana mereka masih belajar dan tidak digalakkan untuk mencari duit. Kebiasaanya sumber kewangan mereka sama ada melalui pinjaman, biasiswa ataupun duit belanja daripada ibubapa.


Sumber kewangan utama bagi kebanyakan pelajar adalah pinjaman dari institusi tertentu, seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).


Masalah kewangan pelajar menyebabkan mereka tidak mampu untuk membeli buku-buku rujukan berikutan harga buku yang pada kebiasaannya mahal sedangkan penggunaan buku rujukan atau buku teks sangat penting terutam dalam sesi pembelajaran kerana ketiadaan buku rujukan akan menyebabkan gangguan pembelajaran.

Kekurangan kolej kediaman untuk pelajar juga menjadi masalah utama dan segelintir pelajar terpaksa menyewa rumah diluar kampus.


Kadar sewa rumah kos rendah terutamanya di bandar raya boleh mencecah hingga RM1,500 sebulan memaksa penuntut universiti menetap seperti buruh asing.


Lebih membebankan, jika tiada pilihan, mereka terpaksa menyewa rumah teres mencecah RM3,000 sebulan, dengan berkongsi tinggal sehingga 20 orang.


Malah,ada segelintir pelajar menjadikan surau sekitar kampus dan masjid berdekatan universiti menjadi lokasi mudah penuntut untuk bermalam sementara mendapat rumah sewa yang mampu dibayar mereka.


Itu hakikat yang terpaksa ditempuh segelintir penuntut universiti kerana tiada pilihan lain berikutan kadar sewa rumah di bandar raya yang disifatkan ‘cekik darah’.


Ada penuntut sanggup hidup secara nomad dengan tidur di surau pada waktu malam dan mandi di tandas fakulti setiap hari sebelum ke kelas, atas faktor kesempitan duit.


Selain itu, harga makanan di kedai makan dan kafe dalam kampus universiti didapati meningkat mendadak sehingga ada mahasiswa terpaksa berjimat cermat bagi memastikan perbelanjaan bulanan mereka tidak terjejas.


Ini berikutan ada peniaga makanan menaikkan harga atas alasan terhimpit dengan kenaikan harga bekalan pelbagai bahan mentah, khususnya ayam, telur, tepung dan minyak masak.


Terdapat segelintir mahasiswa terpaksa mencatu makanan demi memastikan kelangsungan kehidupan harian mereka ketika menimba ilmu.


Selain itu, kadar gaji yang rendah dan tidak banyak berubah setelah sekian lama menjadi antara cabaran dalam memastikan kalangan pelajar terus menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi sedangkan pada masa sama kos sara hidup terus meningkat.


Pelbagai masalah yang dihadapi olehpeljar boleh menyumbang kepada gangguan emosi pelajar. Masalah kemurungan, kebimbangan dan tekanan merupakan masalah yang sering dihadapi oleh pelajar termasuk yang berada di pusat pengajian tinggi.


Ianya boleh mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan dan pencapaian akademik seseorang pelajar. Oleh kerana stres di kalangan pelajar merupakan satu fenomena yang membimbangkan pelbagai pihak sekiranya tidak ditangani secara menyeluruh


Perubahan semasa juga menyebabkan minat lepasan SPM dan STPM untuk menyambung pengajian kian luntur dan mungkin ada antaranya yang dipengaruhi dengan mentaliti pendidikan tidak menjamin masa depan.


Bagi mengatasi masalah ini,pihak kerajaan disarankan melaksanakan dasar kadar gaji minimum untuk golongan siswazah setelah tamat pengajian sekitar RM 3,000 sebulan.


Perkara itu amat membimbangkan kerana biarpun pendidikan tidak mampu menjamin lahirnya individu yang berpelajaran, namun ia dapat memastikan seseorang itu lebih matang dalam membuat keputusan,


Sekiranya isu ini tidak ditangani dengan segera, ia adalah kerugian kepada negara untuk melahirkan lebih ramai bakat muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).


Jika kerajaan lambat bertindak, negara akan berdepan masalah kekurangan tenaga kerja profesional dalam sektor kritikal 15 atau 20 tahun akan datang.


Negara juga di khuatiri pada masa hadapan akan kekurangan tenaga profesional, yang memerlukan sijil diiktiraf seperti pensyarah, doktor dan sebagainya. Akhirnya mungkin terpaksa import pekerja profesional dari luar negara sebab pekerja tempatan kita hanya ramai dalam sektor kemahiran.


Perkara sebegitu sepatutnya sudah lama dikesan melalui laporan-laporan berita oleh pihak media,bagaimanapun hanya segelintir yang mampu memahami realiti yang berlaku.


Kerajaan mempunyai beberapa pilihan untuk menyelesaikan masalah ini, antaranya mengurangkan kadar yuran, membina lebih banyak kolej kediaman,memendekkan tahun pengajian, menawarkan kursus jangka pendek dan lebih fleksibel, mengalakkan sistem pembelajaran secara dalam talian serta menawarkan kursus sijil atau diploma bersesuaian dengan sektor ekonomi gig bagi menarik minat lepasan SPM melanjutkan pelajaran.




Matharuzaman Ahmad

Timbalan Perikatan Nasional Pontian




Comments


bottom of page