• newsatmy

Tanpa mandat Majlis Tertinggi, perbincangan UMNO-PKR tiada makna - Asyraf Wajdi

20 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Apa sahaja perbincangan membabitkan pemimpin UMNO dan PKR berhubung rundingan kerjasama antara dua parti tersebut tidak ada makna tanpa mandat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.


Ketua Pemudanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, berkata sebarang bentuk kerjasama politik perlu melalui proses mengikut prosedur atau hierarki yang telah lama menjadi amalan UMNO.


“Bercakap soal kerjasama politik itu adalah merupakan keputusan dasar yang mana ia perlu melalui proses yang perlu dipersetujui Majlis Kerja Tertinggi (MT). Paling penting sekali, mandat.


“Dan apa juga mandat diberikan hasil daripada perbincangan itu mesti kembali kepada MKT untuk kita putuskan dan diangkat kepada Perhimpunan Agung UMNO,” katanya ketika program Dialog Konsensus Nasional di Astro AWANI malam ini.


Turut menjadi panel pada program itu ialah Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan serta Naib Presiden PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.


Mengulas lanjut, Asyraf berkata, proses yang sama berlaku dalam perundingan kerjasama antara UMNO dengan Pas sehingga terbentuknya Muafakat Nasional (MN).


“Pada peringkat awalnya kita hanya beri mandat kepada kepimpinan untuk wujudkan Jawatankuasa Perundingan UMNO-Pas, untuk bincang dan menjalankan gerak kerja pada waktu itu (dipanggil) Penyatuan Ummah.


“Tapi akhirnya harus kembali kepada MT kita memutuskan untuk dibawa ke PAU, selepas itu barulah yang kita katakan 14 September, pemeteraian Piagam Muafakat Nasional,” katanya.


Pada 15 Mac, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa telah wujud perbincangan tidak rasmi antara kedua-dua parti yang pada peringkat awal disifatkan menunjukkan perkembangan positif.


Anwar berkata kerjasama tersebut tidak mustahil berlaku sekiranya ia berlandaskan kepada idealisme dan bukan semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan ‘menteri’ UMNO. - AA