top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Teknologi 5G, mata wang kripto antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

15 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Soalan berkaitan pembekal, kontraktor dan syarikat yang terlibat dalam pelaksanaan rangkaian 5G dan kos keseluruhan untuk peralihan teknologi dijangka menjadi antara sorotan di Dewan Rakyat hari ini.


Menurut Perintah Kertas, perkara itu akan dibangkitkan semasa sesi soal jawab lisan oleh Datuk Dr A. Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat), yang akan mengemukakan soalan itu kepada Menteri Kewangan.


Menteri Kewangan juga dijadual menjawab soalan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) mengenai strategi kerajaan memastikan rakyat khususnya golongan belia tidak ketinggalan dalam memahami teknologi blockchain.


Lukanisman juga akan bertanya tentang pendirian kerajaan terhadap penggunaan mata wang kripto dalam urus niaga harian dan inisiatif untuk mengawal selia mata wang kripto atau stablecoin negara itu sendiri.


Terdapat juga soalan untuk Tenaga dan Sumber Asli daripada Charles Anthony Santiago (PH-Klang) mengenai langkah segera kementerian untuk menghentikan penggunaan bahan api fosil dan merangsang penjanaan tenaga boleh diperbaharui untuk mengurangkan pelepasan karbon dan mencapai neutral karbon menjelang 2050.


Sementara itu, Dr Maszlee Malik (PH-Simpang Renggam) akan bertanya kepada Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan mengenai usaha membangunkan taman hiburan dan industri tarikan keluarga di Malaysia yang sedang tenat dan mengalami kerugian besar akibat pandemik Covid-19.


Selepas sesi, persidangan akan diteruskan dengan penyambungan semula sesi perbahasan Rang Undang-undang Kewangan 2021.


Dewan Rakyat akan bersidang sehingga esok.

bottom of page