top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Terbuka AS: Medvedev raih trofi Grand Slam pertama, musnahkan misi Djokovic

13 September 2021

NEW YORK: Misi pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic meraih empat kemenangan Grand Slam dalam satu musim (Calendar Grand Slam) gagal apabila tewas dalam finale Terbuka Amerika Syarikat sebentar tadi.


Menerusi aksi di Stadium Arthur Ashe, New York, Djokovic ditewaskan bintang Rusia, Daniil Medvedev dalam pertarungan straight set 6-4, 6-4, dan 6-4.


Kemenangan ini juga merupakan trofi Grand Slam pertama diraih pemain nombor dua dunia ini sekali gus mencipta sejarah sebagai tembok utama yang menyekat kemaraan Djokovic.


Sebelum ini, bintang Serbia ini diramalkan akan berjaya mencipta sejarah baharu sebagai pemain tenis lelaki dengan “koleksi” Grand Slam terbanyak.


Ketika ini, Djokovic masih menyamakan kedudukan dengan 20 trofi bersama Roger Federer dan Rafael Nadal yang tidak beraksi kali ini atas faktor kecederaan.


Malah dia turut dinamakan sebagai heavy favorite untuk menjulang pingat emas temasya Olimpik di Tokyo namun disekat oleh jaguh muda Jerman, Alexander Zverev.


Kekalahan sebentar tadi mengulangi sejarah pencapaian Serena Williams yang juga hampir meraih calender Grand Slam pada 2015 selepas berjaya memperkukuh kedudukan di Terbuka Australia, Terbuka Perancis dan Terbuka Wimbledon.


Namun pada suku akhir Terbuka Amerika Syarikat tahun itu, bagai satu tamparan hebat buat Serena apabila tewas di suku akhir kepada jaguh Itali, Roberta Vincci.

Comments


bottom of page