top of page
  • newsatmy

Terbuka Australia 2022: Rayuan visa Djokovic ditolak, akan diusir keluar dari Australia

16 Januari 2022

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Persekutuan Australia hari ini menolak rayuan pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic untuk penarikan semula visanya yang dibatalkan buat kali kedua pada Jumaat.


Keputusan dicapai oleh tiga hakim yang mendengar rayuan berkenaan pada sidang yang bermula jam 9.30 pagi waktu tempatan atau 6.30 pagi waktu Malaysia.


Untuk itu, bintang Serbia itu perlu melupakan hasratnya untuk memburu kejuaraan ke-10 Terbuka Australia peribadi miliknya kerana dia akan diusir pulang ke negara asalnya selain tidak dibenarkan memasuki negara itu untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Suami kepada Jelena Djokovic itu merupakan antara pilihan utama kejohanan tersebut yang disebut-sebut akan mampu mencipta kejuaraan ke-10 miliknya di Melbourne Park.


Ia sekali gus akan mampu mengatasi rekod trofi Grand Slam miliknya yang kini berada di kedudukan yang sama dengan Roger Federer dan Rafael Nadal, masing-masing dengan 20 trofi setakat ini.


Pada 6 Januari lalu, sejurus ketibaannya di Lapangan Terbang Melbourne, visa Djokovic dibatalkan seterusnya ditahan sebagai tahanan imigresen di sebuah hotel di Melbourne.


Pembatalan dibuat susulan status vaksinasinya meskipun pihak Djokovic sebelum ini sudah memohon untuk pengecualian kesihatan bagi membolehkan dia beraksi tanpa perlu divaksin.


Bagaimanapun, pada Isnin lalu, juara bertahan itu dibebaskan dari tahanan imigresen Australia serta merta selepas hakim Anthony Kelly mendapati pembatalan visa Djokovic itu sebagai tidak berasas.


Kelly juga mengarahkan agar pasport dan semua dokumen peribadi dipulangkan sekali gus memungkinkan penyertaan Djokovic dalam Terbuka Australia 2022.


Pada sesi perbicaraan sama, peguam yang mewakili Kerajaan Persekutuan Australia menyatakan laluan buat Djokovic mungkin lebih sukar kerana Menteri Imigresen, Alex Hawke, masih memiliki kuasa untuk sekali lagi membatalkan visa Djokovic.


Ternyata nasib tidak menyebelahinya apabila visa Djokovic ditarik semula selepas empat hari ditarik semula bagi memastikan dia tidak mendatangkan risiko menularkan COVID-19 kepada komuniti.


Pada Jumaat, Alex menyifatkan keputusan itu dibuat berdasarkan Seksyen 133C (3) Akta Migrasi selepas mempertimbangkan faktor kesihatan dan kepentingan orang awam.


Malah katanya keputusan dicapai selepas mempertimbangkan maklumat dibekalkan Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri, Pasukan Sempadan Australia dan Djokovic sendiri.


Tambahnya, kerajaan di bawah kepimpinan Scott Morrison juga terus komited dalam melindungi sempadan negara itu, lebih-lebih lagi dalam memastikan Australia bebas daripada COVID-19.

Commentaires


bottom of page