• newsatmy

Terbuka Perancis: Sakkari kejutkan juara bertahan, Swiatek

10 Jun 2021

HASRAT Iga Swiatek untuk mempertahankan kejuaraan dalam Kejohanan Tenis Terbuka Perancis tidak kesampaian selepas disingkirkan oleh Maria Sakkari di Paris malam tadi.


Pemain pilihan ke-17, Sakkari, turun beraksi dalam suku akhir kejohanan grand slam pertamanya tetapi tidak menunjukkan sebarang rasa gugup untuk memperoleh kemenangan 6-4, 6-4 ke atas juara edisi lalu itu dalam masa sejam 35 minit.


Sakkari akan berdepan pemain bukan pilihan, Barbora Krejcikova, yang akan menjadi penampilan separuh akhir pertama kejohanan utama buat kedua-dua pemain berkenaan.


Perlawanan malam tadi itu tidak bermula dengan baik apabila kedua-dua pemain bergelut untuk mendapatkan rentak ketika melakukan servis.


Sakkari kemudian menyelamatkan empat mata break dalam game berikutnya sebelum giliran Swiatek memenangi tiga game selepas itu.


Sakkari kelihatan seperti pemain berbeza dengan kawalan sempurnanya. Ketika kedudukan terikat 4-4, pukulan terus kencang yang dilakukannya memberikan Sakkari dua break point untuk memenangi set berkenaan.


Sakkari mendapat momentum apabila mendahului 2-0 dalam set kedua, di mana Swiatek perlu medapatkan rawatan sehingga perlawanan tertunda selama 10 minit.


Selepas mendapat rawatan dan balutan di paha kanannya, Swiatek kelihatan lebih yakin sebelum menyelamatkan dua mata break ketika memegang servis bagi menghidupkan peluangnya dalam perlawanan itu.


Tetapi Sakkari tidak tergugat dan membenarkan sebarang peluang mata break dalam set kedua dan kelihatan bercucuran air mata sebaik memenangi saingan itu menerusi mata akhir ketiganya.