top of page
  • newsatmy

Tewas di tangan Indonesia, Malaysia harap tuah ke separuh akhir

5 April 2022

KUALA LUMPUR: Peluang skuad futsal lelaki negara melangkah ke peringkat separuh akhir kian malap selepas tewas 1-5 di tangan Indonesia dalam aksi Kejuaraan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 di Bangkok, Thailand pada Isnin.


Pemain Indonesia Ardiansyah Nur dan Holypaul Septinus Soumilena muncul wira selepas masing-masing menjaringkan dua gol, sekali gus mengecewakan pasukan negara yang dibimbing Ketua Jurulatih Chiew Chun Yong.


Di awal babak permainan, kedua-dua pasukan tampak berhati-hati bagi mengelak gawang dibolosi semasa cubaan untuk menjaringkan gol dan keputusan kekal 0-0 di akhir separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, aksi lebih bertenaga dipamerkan kedua-dua pasukan dengan serangan demi serangan dilakukan, sebelum Soumilena menjaringkan gol pembukaan buat Indonesia pada minit ke-21.


Bagaimanapun, Malaysia bangkit menyamakan kedudukan menerusi Mohd Ridzwan Bakri selang seminit kemudian.


Tidak terhenti di situ, Indonesia menjaringkan gol kedua menerusi Firman Adriansyah pada minit ke-29 dalam usaha menjarakkan jurang gol dengan skuad negara.


Malaysia terus dihukum apabila Soumilena menjaringkan gol ketiga pasukannya pada minit ke-35 menjadikan kedudukan 3-1.


Indonesia terus garang apabila menghasilkan dua lagi jaringan menerusi Ardiansyah Nur pada minit terakhir perlawanan untuk memuktamadkan kemenangan.


Skuad negara mengutip tiga mata selepas dua perlawanan dan mengharapkan tuah kemenangan menentang Brunei serta tuan rumah, Thailand dalam aksi pelengkap Kumpulan A bagi menghidupkan peluang mara ke peringkat seterusnya.

bottom of page