top of page
Farah

Tiada keperluan perkenal semula GST

Sibu ,7 Sept:Kerajaan masih belum capai peringkat yang perlu untuk memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kata Timbalan Menteri Kewangan I Shahar Abdullah.


Beliau berkata ini disebabkan oleh momentum pemulihan ekonomi yang kukuh dengan pertumbuhan 6.9 peratus pada separuh pertama tahun ini dan disokong oleh peningkatan permintaan dari dalam dan luar negara serta pemulihan pasaran buruh.


“Sehubungan itu, kerajaan yakin ekonomi negara akan mencatat unjuran pertumbuhan antara 5.3 peratus hingga 6.3 peratus bagi tahun 2022,” katanya.


Encik Mohd Shahar berkata demikian bagi menjawab soalan sama ada kerajaan akan memperkenalkan semula GST semasa sesi libat urus Kementerian Kewangan dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Sarawak di Sibu pada Selasa (6 Sep).


Sesi libat urus itu diadakan sebagai salah satu usaha kementeriannya untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada komuniti perniagaan bagi dipertimbangkan dalam penyediaan Belanjawan 2023.


Beliau berkata bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara, tumpuan kerajaan dalam belanjawan akan datang adalah inisiatif pembaharuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, terutamanya melalui peningkatan pendapatan dan perlindungan sosial, daya saing perniagaan dan rantaian nilai berkaitan serta memperkukuh daya tahan negara terhadap kejutan pada masa depan.


Beliau berkata paras inflasi negara bagi enam bulan pertama 2022 mencatatkan kadar 2.5 peratus, jauh lebih rendah daripada kadar inflasi di negara lain dan kekal terkawal berikutan pelaksanaan langkah kawalan harga serta pemberian subsidi oleh kerajaan.


Beliau menambah langkah kerajaan untuk meneruskan serta menambah baik subsidi menyebabkan perbelanjaan untuk bantuan dan subsidi dianggarkan meningkat kepada RM77.7 bilion (S$24 bilion) berbanding RM31 bilion (S$9.6 bilion) yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2022.


"Tanpa subsidi yang disediakan untuk barangan asas, dianggarkan inflasi akan melonjak kepada 11.4 peratus," jelas beliau.

Comments


bottom of page