• Arissa Azman

Tiada kes COVID-19 babitkan pelancong di Langkawi

23 September 2021

ALOR SETAR: Tiada kes positif COVID-19 dilaporkan setakat ini membabitkan pelancong yang berkunjung ke Langkawi sejak pulau itu dibuka untuk gelembung pelancongan pada 16 September lepas.


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Firdaus Ahmad berkata setakat ini kes jangkitan wabak itu hanyalah melibatkan dalam kalangan penduduk tempatan di pulau berkenaan sahaja.


“Ini disebabkan oleh kejayaan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP)…kejayaan di peringkat saringan di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), apabila lima orang terpaksa tunda perjalanan bila disahkan positif COVID-19.


Mereka (yang positif) dah sangkut di tempat saringan, belum sampai ke Langkawi, ini bermakna SOP dilaksanakan dengan baik,” katanya.


Beliau menjawab soalan tambahan Azhar Ibrahim (PAS-Ayer Hitam) yang ingin tahu mengenai kesan pelaksanaan SOP kepada pelancong di Langkawi dalam sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.


Sementara itu Mohd Firdaus berkata, seramai 200,000 pelancong diunjurkan memasuki Langkawi sehingga hujung tahun ini.


Beliau berkata kejayaan gelembung pelancongan di Langkawi yang menjadi perintis menunjukkan perkembangan positif apabila Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengumumkan tiga destinasi pelancongan lain, Melaka, Genting Highlands dan Pulau Tioman akan turut dibuka bermula 1 Oktober ini.


Sementara itu, katanya pembukaan Jeti Kuala Kedah yang menjadi antara laluan utama ke Langkawi esok juga akan memberi manfaat kepada penduduk di Kedah termasuk di bahagian tanah besar.


“Ketika jeti ini ditutup ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebelum ini, kesannya memang terasa kerana pelancong terpaksa dilencongkan ke Kuala Perlis untuk menaiki feri ke Langkawi.


Apabila jeti itu kembali dibuka esok, kita akan melihat rakyat di Kuala Kedah akan turut dapat menikmati kesan pembukaan Langkawi,” katanya.