top of page
  • newsatmy

Tiada lagi konset hiburan di Kedah


PENGANJURAN Muda-Mudi Weekend Fest yang melibatkan konsert hiburan hingga mencetuskan kelakuan di luar tatasusila, tidak akan dibenarkan di seluruh Kedah.


Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan, kejadian muda-mudi terkinja-kinja tanpa arah gara-gara konsert hiburan di Balai Seni Alor Setar kelmarin, menjadi penanda aras bahawa sebarang aktiviti yang boleh merangsang pelanggaran norma masyarakat tempatan tidak boleh diberikan ruang untuk membiak.


Menurutnya, penganjuran acara yang menyihatkan tubuh badan seperti ‘fun run’, ‘fun ride’, pertandingan mencari harta karun dan memancing adalah digalakkan.


“Begitu juga pertandingan yang selari dengan undang-undang, garis panduan program terbuka dan sesuai dengan tatasusila masyarakat tempataN. Semua itu digalakkan.


“Semua Pegawai Daerah yang mempengerusikan jawatankuasa berkaitan pelesenan hiburan, telah dimaklumkan tentang hal ini dan arahan ini berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam laman Facebooknya, hari ini.


Sejak kelmarin tular di laman sosial klip video memaparkan tindakan sekumpulan muda-mudi yang menari terkinja-kinja sewaktu kumpulan muzik membuat persembahan di pentas.

Penularan klip video itu mengundang rasa tidak senang dalam kalangan penduduk negeri ini kerana dianggap melanggar tatasusila masyarakat.


Kedudukan lokasi itu pula yang terletak tidak jauh dari Masjid Negeri, Masjid Zahir dan Pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), turut menyebabkan banyak pihak tidak berpuas hati dengan kejadian tersebut.


Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melalui Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Zaid Ahmad turut melahirkan rasa kesal terhadap kejadian itu dan menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen kepada penganjur sebuah festival untuk mengadakan konsert tersebut.

bottom of page